AGAMA

Islam tidak terpinggir, peruntukan hal ehwal agama cecah RM2.6 bilion – YADIM

PUTRAJAYA – Peruntukan bagi hal ehwal Islam yang meningkat kepada RM2.6 bilion tahun ini membuktikan syiar agama itu terus diperkasakan di bawah Kerajaan MADANI, sekali gus menepis dakwaan kononnya Islam semakin terpinggir di negara ini.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Dr Hasan Bahrom berkata, kedudukan serta pembangunan Islam tidak seharusnya dinilai berdasarkan percaturan kuasa atau pihak yang memegang tampuk pemerintahan, sebaliknya melalui dasar dan usaha yang telah dilaksanakan.

“Dakwaan bahawa ada pihak sedang membawa agenda yang menyambung kerja penjajah serta menghakis kedudukan Islam dan Melayu, juga perlu dinilai berdasarkan fakta dan tindakan berlaku.

“Hakikatnya, di bawah Kerajaan MADANI, peruntukan bagi hal ehwal Islam meningkat daripada RM1.9 bilion pada 2024, RM2 bilion pada 2025 kepada RM2.6 bilion tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca juga : YADIM kecam penahanan mufti besar Baitulmaqdis, sokong pendirian tegas Menteri Agama

Hasan berkata, dakwaan kononnya Islam semakin terpinggir di negara ini adalah tidak berasas, sebaliknya syiar agama itu terus diperkasakan menerusi peningkatan peruntukan kerajaan, pengukuhan institusi agama dan pelaksanaan pelbagai agenda pembangunan Islam.

Beliau berkata, kesungguhan kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, meneliti dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji juga membuktikan komitmen memperkukuh tadbir urus dan memelihara amanah umat.

Katanya, masyarakat perlu mengamalkan budaya berbeza pandangan secara matang dengan mengemukakan fakta dan hujah, bukannya menjadikan perbezaan pendapat sebagai ruang untuk menyerang peribadi, menyebarkan fitnah atau mencetuskan perpecahan.

Pada masa sama, beliau berkata, syiar Islam Malaysia terus mendapat pengiktirafan pada peringkat antarabangsa menerusi penganjuran program seperti Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Antarabangsa serta Sama’ Hadis yang menghimpunkan ulama, ilmuwan dan peserta dari pelbagai negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button