Anwar umum RM33 juta untuk pembangunan Pulau Banggi
KARAKIT – Kerajaan MADANI mengumumkan pelaksanaan beberapa inisiatif pembangunan bernilai lebih RM33 juta bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memenuhi keperluan asas penduduk di Pulau Banggi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu merangkumi dana khas Kerajaan MADANI dan Jabatan Perdana Menteri berjumlah lebih RM31 juta melibatkan pelbagai projek infrastruktur asas di kawasan berkenaan.
Menurutnya, antara projek yang telah dan sedang dilaksanakan termasuk naik taraf jalan dan jambatan di beberapa kampung seperti Kampung Limbuak Laut, Kapitangan, Damaran dan Bayangan Laut.
“Naik taraf Balai Polis Pulau Banggi, penambahbaikan Klinik Kesihatan Karakit, naik taraf asrama sekolah di Banggi dan Balambangan, serta projek keselamatan dan pertahanan negara,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.
Beliau berkata, Kerajaan MADANI turut melaksanakan naik taraf Jeti Awam Karakit kepada terminal feri bagi memperkukuh kemudahan pengangkutan penduduk di kawasan berkenaan.
Dalam masa sama, Anwar turut mengumumkan peruntukan tambahan RM2.25 juta bagi beberapa projek baharu termasuk RM1.25 juta untuk program pendidikan, pengupayaan institusi, teknologi hijau, kesihatan dan pembangunan insan di bawah Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Selain itu, RM1 juta diperuntukkan bagi naik taraf jeti di Kampung Dogoton yang dijangka memberi manfaat kepada penduduk setempat serta agensi penguatkuasaan.
“InsyaAllah, ikhtiar ini bukan sekadar menambah baik kemudahan asas, tetapi memastikan rakyat di pulau terpencil ini menikmati pembangunan yang lebih adil, selesa dan bermaruah.
“Kawasan terpencil tidak wajar terus terpinggir daripada arus pembangunan negara,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








