BERITA SEMASA

LHDN perkukuh budaya inovasi, integriti dalam perkhidmatan negara

CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) terus memperkukuh budaya inovasi dan integriti sebagai teras utama kecemerlangan organisasi dalam memastikan sistem percukaian negara kekal berdaya saing dan diyakini rakyat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata, komitmen tersebut selari dengan aspirasi kerajaan dan menjadi landasan kepada perkhidmatan yang telus, cekap serta memberi nilai tambah kepada rakyat.

“Hari Inovasi dan Integriti bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya platform untuk menyemai nilai kreativiti dan etika kerja tinggi dalam kalangan warga LHDN.

“Inovasi dan integriti bukan hanya slogan tetapi pembakar semangat kepada warga LHDN untuk terus berani mencipta perubahan dan kekal teguh berpegang kepada prinsip amanah serta ketelusan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Inovasi dan Integriti 2025 LHDN di Menara Hasil, hari ini.

Katanya, organisasi perlu tangkas serta terus berfikir di luar kebiasaan bagi mencipta solusi baharu yang memberi kesan langsung kepada kecekapan perkhidmatan.

“Apabila inovasi dibudayakan, ia menghasilkan tenaga kerja bermotivasi tinggi serta mampu memberikan hasil terbaik.

“Namun inovasi itu perlu dipandu integriti agar setiap langkah yang diambil kekal telus dan beretika,” katanya lagi.

Dalam majlis sama, LHDN turut melancarkan 10 produk inovasi baharu termasuk TEKAD LHDN, dokumen hala tuju korporat bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang bakal menjadi panduan strategik agensi tersebut.

Beliau berkata, pelaksanaan e-Invois secara menyeluruh serta Sistem Taksir Sendiri duti setem bermula 2026 membuktikan LHDN komited memacu agenda digitalisasi dan menambah baik penyampaian perkhidmatan.

“Setiap inisiatif diperkenalkan bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi, tetapi membawa nilai kemanusiaan agar perkhidmatan cukai lebih dekat di hati rakyat,” katanya lagi

Dr Abu Tariq turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying atas kesudian merasmikan sambutan tersebut serta sokongan berterusan kepada usaha transformasi LHDN.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button