
KPKT beri pengiktirafan khidmat cemerlang kepada 403 kakitangan
PUTRAJAYA – Seramai 403 kakitangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dianugerahkan Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC) dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dalam Majlis Apresiasi Kecemerlangan Tahun 2023 di Dewan Seri Siantan, di sini, hari ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, penganugerahan tersebut adalah untuk mengiktiraf dan menghargai seluruh warga KPKT yang telah menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang sepanjang tahun 2023.
“Kementerian kita telah mencatatkan rekod pencapaian yang memberangsangkan apabila berjaya memperoleh sebanyak 15 anugerah dari dalam dan luar negara.
“Pencapaian ini amat membanggakan kita semua warga kementerian namun cabaran yang lebih besar adalah memastikan kejayaan ini berterusan dan tidak hanya terhenti di sini.
“Kita perlu bekerja keras untuk mencapai kejayaan lebih gemilang pada tahun hadapan,” katanya dalam ucapan perasmian.
Beliau juga menekankan pentingnya kerjasama erat dalam kalangan warga kerja KPKT untuk mencapai tahap kecekapan dan kualiti yang tinggi.
“Seluruh warga kerja KPKT diharap dapat meneruskan kerjasama yang baik dan erat serta sentiasa menyokong antara satu sama lain.
“Kebersamaan dan permuafakatan dalam melaksanakan tanggungjawab yang digalas akan membuahkan hasil yang cemerlang,” tambahnya.
Beliau turut menyeru semua warga KPKT supaya melengkapkan diri dengan kemahiran berpandukan teknologi terkini serta ilmu pengetahuan agar perkhidmatan kerajaan kekal relevan dan progresif.
Sementara itu, majlis turut dihadiri oleh Timbalan Menteri KPKT, Datuk Aiman Athirah Sabu, Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Wira M Noor Azman Taib, serta barisan pengurusan tertinggi KPKT.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








