BERITA SEMASA

Tapak Pelupusan Belanga Pechah dinaik taraf RM25.7 juta

LANGKAWI – Kerajaan MADANI terus mempergiat usaha memperkukuh infrastruktur pengurusan sisa pepejal negara dengan menaik taraf Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Belanga Pechah di sini dengan peruntukan RM25.7 juta.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, usaha itu adalah langkah proaktif KPKT dalam memastikan sistem pelupusan negara kekal mampan, khususnya di Langkawi yang menerima jumlah pelancong tinggi dan menghasilkan kadar janaan sisa yang sentiasa meningkat.

“Penaiktarafan ini memastikan operasi lebih selamat dan berdaya tahan, di samping memelihara alam semula jadi serta kesejahteraan komuniti setempat,” katanya selepas melakukan lawatan kerja ke tapak berkenaan pagi ini

Kunjungan beliau itu merupakan sebahagian daripada siri jelajah Sentuhan Kejayaan KPKT yang dilaksanakan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN).

Buat masa ini tapak berkeluasan 47 ekar yang mula beroperasi sejak 1986 itu berupaya melupuskan sehingga 124 metrik tan sisa pepejal setiap hari.

Kor Ming berkata, usaha menaik taraf yang sedang dijalankan adalah untuk memastikan jangka hayat tapak itu dapat dipanjangkan sekali gus menyokong prinsip pengurusan sisa secara mesra alam.

“Antara penambahbaikan utama ialah penggunaan teknologi ‘reinforced earth wall’ yang menjadi struktur asas bagi menampung beban sisa pepejal secara lebih efisien serta mengurangkan risiko impak kepada persekitaran Kilim Geoforest Park.

“Belanga Pechah turut mencatat sejarah sebagai tapak pelupusan pertama di Malaysia yang dibina di bawah paras laut, menjadikan teknologi ini satu keperluan bagi memastikan kestabilan dan perlindungan alam sekitar,” katanya.

Nga Kor Ming melawat Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Belanga Pechah, Langkawi.

Menurut beliau lagi, projek yang dijangka siap pada 2027 itu turut merangkumi pembinaan terramesh wall, sistem perlindungan struktur sel sisa pepejal, serta pembinaan kolam air larut resap (leachate) yang dilengkapi lapisan High Density Polyethylene (HDPE) Geomembrane dan Geosynthetic Clay Liner (GCL) bagi meningkatkan keselamatan alam sekitar.

Menurut KPKT, pada tahun ini, JPSPN turut menyiapkan dua projek penting iaitu Tapak Pelupusan Sanitari Kemunyang di Sibu, Sarawak bernilai RM23 juta yang siap pada 7 Februari lalu, serta Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Bukit Payong, Batu Pahat berharga RM63.8 juta yang siap pada 14 Mei.

JPSPN turut melaksanakan reformasi di tapak pelupusan yang mencapai had operasi melalui pembangunan semula kawasan kepada projek berimpak tinggi seperti Lestari Park @ Bandar Tenggara, Kota Tinggi, Johor iaitu taman riadah mesra komuniti yang dibangunkan di atas tapak pelupusan lama.

Katanya, Lestari Park turut diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai ‘Taman Rekreasi Mesra Stroller Pertama di Atas Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Yang Direhabilitasi’, membuktikan inovasi tempatan dalam usaha pemulihan kawasan secara mampan.

KPKT melalui JPSPN komited untuk terus memperkasa pengurusan sisa pepejal negara dengan penggunaan teknologi moden demi manfaat alam sekitar, peningkatan kesihatan awam dan peningkatan kesedaran masyarakat mengenai pengurusan sisa lestari.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button