
Kor Ming gesa tindakan global sifar sisa, bina bandar mampan
PUTRAJAYA – Presiden Perhimpunan UN-Habitat, Nga Kor Ming menggesa tindakan kolektif di peringkat global bagi mempercepat peralihan ke arah bandar sifar sisa selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan agenda iklim 2030.

Menurut beliau, sasaran iklim 2030 yang berteraskan Perjanjian Paris serta SDG 13 menuntut langkah segera untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau hampir separuh menjelang 2030 serta mengehadkan pemanasan global kepada 1.5 darjah Celsius.
“Pencapaian ini memerlukan iltizam politik yang kukuh, integrasi dasar iklim dalam polisi negara, peningkatan daya tahan serta mobilisasi pembiayaan iklim dan pengurusan sisa mampan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, pengurusan sisa mampan merupakan teras penting dalam memperkukuh daya tahan iklim, kecekapan sumber dan kesihatan awam, khususnya di rantau pesat membangun seperti ASEAN.
“Bandar berada di barisan hadapan krisis sisa global. Tanpa tindakan tegas, penghasilan sisa dijangka meningkat menjelang 2050 sekali gus memberi tekanan kepada tapak pelupusan, ekosistem dan kualiti hidup bandar,” katanya lagi.
Beliau turut menggariskan tiga keutamaan strategik bagi merealisasikan agenda sifar sisa di peringkat nasional dan global, iaitu memperkukuh amalan ekonomi kitaran, mempercepat penggunaan sistem pengurusan sisa pintar serta memperluas kerjasama global dan tindakan di peringkat tempatan.
Dalam konteks Malaysia, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) terus memacu pelaksanaan pengurusan sisa mampan dan prinsip ekonomi kitaran melalui pelbagai inisiatif.
Antaranya termasuk penerimaan Anugerah Khas Global Zero Waste, pelaksanaan program ‘Trash to Cash’, pembangunan Pelan Tindakan Ekonomi Kitaran 2025–2035 serta transformasi tapak pelupusan lama kepada taman lestari berasaskan tenaga boleh diperbaharui.
Selain itu, usaha turut melibatkan penggunaan teknologi pintar seperti stesen pemindahan sisa berasaskan kecerdasan buatan (AI) di Kuala Lumpur yang mampu memproses sehingga 2,500 tan sisa setiap hari.
Kor Ming berkata, Malaysia juga mempercepat pembangunan loji Waste-to-Energy (WTE) di beberapa lokasi termasuk Port Dickson dan Melaka, di samping menutup ribuan tapak pelupusan haram bagi memperkukuh pengurusan sisa pepejal negara.
“Pengurangan sisa bukan sahaja memberi manfaat kepada alam sekitar, malah penting dalam penjimatan tenaga khususnya sumber tidak boleh diperbaharui serta menjamin keselamatan tenaga jangka panjang,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








