KPKT akur RUU PSB ditangguh sehingga rombakan besar dilakukan
IPOH – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akur sekiranya pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) ditangguhkan pada sidang Dewan Rakyat bulan ini.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, keputusan itu selaras dengan saranan UMNO supaya dilakukan rombakan besar terhadap draf sedia ada sebelum diteruskan.
“Jadual Parlimen kali ini diberikan keutamaan kepada pembentangan Belanjawan 2026 pada Jumaat ini.
“Jadi minggu depan bermula Isnin fokusnya adalah Belanjawan 2026, menjadikan urusan kerajaan yang lain itu kita boleh buat selepas belanjawan.
“Tiada isu (di pihak KPKT), bahkan kami mengalu-alukan agar saya ada lebih masa untuk kaji pandangan daripada konvensyen (PSB). Ianya bagus dan saya gembira melihatnya,” katanya selepas Program Sumbangan Kasih MADANI Sempena Deepavali 2025 di sini, hari ini.
Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dilapor berkata, parti itu berpendirian tegas untuk menangguhkan RUU PSB sedia ada dan tidak meneruskan pembentangannya pada sidang Dewan Rakyat akan datang sehingga dilakukan rombakan besar yang mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan.
Sementara itu, Ketua Pasukan Khas UMNO bagi Penambahbaikan RUU PSB, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang juga Naib Presiden UMNO dilapor berkata, parti itu akan meminta RUU PSB yang dijadual dibentang untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat minggu depan, dirujuk ke Jawatankuasa Khas Parlimen.
Langkah itu bagi membolehkan RUU tersebut ditambah baik supaya cadangan akta lebih komprehensif, selain mengambil kira pandangan serta kritikan pelbagai lapisan masyarakat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








