BERITA SEMASA

KPKT pertimbang wujudkan akta baharu tangani isu pengurusan harta, bangunan lemah

PETALING JAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang mempertimbangkan untuk mewujudkan akta baharu bagi menangani isu pengurusan harta dan bangunan yang lemah di negara ini.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, beberapa isu berlarutan berhubung perkhidmatan pengurusan harta yang lemah di Malaysia telah menyebabkan penurunan dalam nilai aset harta, terutamanya bagi bangunan berstrata.

Kata beliau, terdapat hanya 594 firma berlesen yang menguruskan 26,334 skim strata atau 2.91 juta unit dalam harta strata di Malaysia.

“Dalam erti kata lain, setiap firma secara purata bertanggungjawab untuk menguruskan hampir 4,900 unit dalam harta strata.

“Kekurangan firma berlesen ini mendorong kepada kualiti perkhidmatan yang lemah bagi Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Jawatankuasa Pengurusan (MC), serta penambahan pengurus harta yang tidak berlesen di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian di Simposium Strata Antarabangsa di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, akibat pengurusan bangunan yang lemah dan tidak mencukupi oleh pengurus harta yang tidak bertauliah, ramai pemilik harta dan penyewa, terutamanya dalam skim strata berdepan kesukaran berikutan kemerosotan nilai aset harta mereka.

Bagi menangani isu ini, Nga berkata, KPKT telah berkerjasama dengan beberapa persatuan serta kumpulan berkepentingan dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini untuk mengkaji satu akta baharu yang komprehensif, yang akan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pengawalseliaan pengurusan harta dan bangunan di bawah KPKT.

Pada masa ini, pengurus harta dikawal selia bersama penilai, pentaksir dan ejen harta tanah di bawah Akta 242.

“Dengan mewujudkan akta baharu yang khusus bagi pengurus harta, kami berhasrat untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan pengurusan harta di Malaysia.

“Ia juga akan memastikan yuran penyelenggaraan yang dibayar oleh pemilik atau penyewa harta digunakan secara betul, seperti untuk penyelenggaraan lif dan taman, pengubahsuaian kemudahan, pengumpulan sisa buangan atau pembaikan sistem kumbahan,” tegas Kor Ming.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button