BERITA SEMASA

RM12 juta diperuntuk bagi manfaat 1,100 peserta berpendapatan rendah

PUTRAJAYA – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM12 juta bagi pelaksanaan Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) 2026 yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 1,100 peserta daripada golongan berpendapatan rendah di seluruh negara.

Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Dr M Noor Azman Taib
Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Dr M Noor Azman Taib

Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Dr M Noor Azman Taib berkata, peruntukan itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam usaha membasmi kemiskinan bandar melalui pendekatan pemerkasaan ekonomi dan pembangunan keusahawanan, selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) serta agenda Kerajaan MADANI.

“Pelaksanaan PEKB 2026 memberi tumpuan kepada latihan dan bimbingan berstruktur menerusi kerjasama strategik bersama badan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik,” katanya ketika Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Pelaksanaan Program PEKB 2026 kepada NGO pelaksana.

Beliau berkata, peserta akan dilatih dalam 15 bidang keusahawanan berpotensi tinggi yang dikenal pasti berdasarkan keperluan pasaran dan peluang ekonomi semasa.

“Program PEKB bukan sekadar menyediakan bantuan jangka pendek, sebaliknya membina keupayaan peserta agar mampu berdikari dan keluar daripada kitaran kemiskinan secara mampan,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, pendekatan pemerkasaan ekonomi melalui latihan kemahiran dan keusahawanan terbukti berkesan dalam membantu komuniti bandar meningkatkan taraf hidup serta menjana pendapatan yang lebih stabil.

“Di bawah pelaksanaan sebelum ini, program PEKB telah memberi manfaat kepada ribuan peserta daripada golongan B40, termasuk melahirkan usahawan baharu yang berjaya membangunkan perniagaan sendiri dalam bidang makanan, perkhidmatan teknikal dan peranti mudah alih,” katanya lagi.

KPKT berkata, komitmen berterusan untuk memastikan tiada rakyat yang terpinggir, khususnya dalam kalangan komuniti bandar yang berdepan tekanan kos sara hidup semakin meningkat.

“Pelaksanaan PEKB 2026 dijangka menjadi antara inisiatif utama kerajaan dalam memperkasa golongan sasar secara lebih menyeluruh, berfokus dan berimpak tinggi, sekali gus memperkukuh agenda pembasmian kemiskinan bandar secara lestari di seluruh negara,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button