KPKT terus perkasa agenda 1,000 Taman Rekreasi MADANI
IPOH – Usaha mensejahterakan rakyat terus diperkasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi agenda pembangunan 1,000 Taman Rekreasi MADANI (TRM) di seluruh negara.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM5.4 juta pada tahun lalu bagi membangunkan 12 TRM di bawah pentadbiran MBI, dengan setiap projek menerima peruntukan RM450,000.
“Setiap TRM perlu mematuhi syarat mesra Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas, selain dilengkapi pelbagai kemudahan bagi menggalakkan gaya hidup sihat yang inklusif sekali gus meningkatkan kualiti hidup masyarakat,” katanya.
Terdahulu, sebagai sebahagian daripada inisiatif tersebut, Kor Ming semalam telah merasmikan empat daripada 12 TRM yang siap sepenuhnya di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pada Julai lalu.
Empat TRM baharu yang dirasmikan ialah TRM Taman Pusing Baru, TRM Taman Kledang, TRM Taman Pengalaman Barat dan TRM Taman Westpool.
Pada majlis sama, beliau turut merasmikan Pintu Gerbang Kampung Kepayang.
Kemudahan yang disediakan di setiap TRM merangkumi alat permainan kanak-kanak, gimnasium luar, laluan pejalan kaki, trek joging, gazebo, kerusi taman serta lampu pencahayaan untuk keselamatan pada waktu malam.
Kor Ming menegaskan, projek komuniti itu menjadi simbol kesungguhan Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyediakan persekitaran hidup bandar yang lebih lestari, selamat, selesa dan inklusif untuk rakyat.
“Menjelang akhir tahun ini, sebanyak 216 TRM akan siap dibina dan bakal memberi manfaat kepada ratusan ribu penduduk di kawasan terlibat,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menyeru orang ramai agar tidak mensia-siakan usaha kerajaan dengan melakukan vandalisme yang akhirnya mengundang kerugian besar kerana kerja pembaikan semula perlu dijalankan.
“KPKT bersama 156 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara akan terus memastikan inisiatif TRM diperkasa sebagai wadah meningkatkan kesejahteraan rakyat, mengukuhkan perpaduan komuniti serta menyokong agenda Sihat Malaysia,” ujar beliau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








