BERITA SEMASA

MyKiosk bukan projek gajah putih – Kor Ming

KUALA LUMPUR – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, program MyKiosk 2.0 yang dilaksanakan kementeriannya bukan sekadar menyediakan kemudahan fizikal kepada peniaga kecil, sebaliknya terbukti mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi rakyat melalui peluang perniagaan yang mampan.

Menurut beliau, sehingga Julai 2025, sebanyak 3,518 unit kiosk baharu telah disiapkan di bawah MyKiosk 2.0 yang diperkenalkan pada tahun 2024.

Jumlah itu mewakili 86.78 peratus daripada keseluruhan 4,054 unit yang dirancang pembinaannya.

Bagi fasa pertama MyKiosk yang bermula pada tahun 2023 pula, sebanyak 2,926 unit telah diisi daripada 3,189 unit yang disediakan, menjadikan kadar pengisian 91.75 peratus.

“MyKiosk bukan hanya ruang berniaga semata-mata. Ia memberi peluang kepada rakyat, terutamanya golongan B40 dan penjaja kecil, untuk meningkatkan taraf hidup mereka dalam persekitaran yang lebih tersusun dan selamat.

“Malah, kejayaan mereka membuktikan bahawa projek ini memberi impak besar kepada ekonomi rakyat,” katanya ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar di Dewan Rakyat, hari ini.

Kor Ming turut berkongsi beberapa kisah kejayaan penjaja MyKiosk di pelbagai negeri. Antaranya seorang peniaga ayam gunting di Dataran MITC, Melaka yang kini mampu meraih pendapatan sebanyak RM30,000.

“Seorang peniaga Takoyaki di Putra Heights pula memperoleh pendapatan sekitar RM6,000 sebulan.

“Di Perlis, seorang peniaga makanan dan air soya berjaya menggandakan hasil pendapatannya kepada RM18,000 sebulan,” katanya lagi.

Turut disebut ialah peniaga kopi mesin di Pantai Murni, Kedah yang menjana pendapatan RM5,000 sebulan dan peniaga burger bakar di Taman Titiwangsa, Kelantan yang merekodkan pendapatan bulanan mencecah RM9,500.

Beliau berkata, dakwaan yang mengatakan program MyKiosk adalah projek gajah putih adalah tidak berasas kerana angka dan kejayaan peniaga membuktikan sebaliknya.

Menurutnya, KPKT turut mengambil langkah memperkenalkan sistem penilaian berasaskan ‘traffic light’ bagi memantau prestasi pengisian dan pengoperasian MyKiosk oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) bermula tahun ini, bagi memastikan penyampaian perkhidmatan lebih berkesan.

Dalam pada itu, menjawab pertanyaan tambahan berhubung status naik taraf Stadium Majlis Perbandaran Batu Pahat, Kor Ming berkata, projek berkenaan dijangka bermula pada awal tahun 2026 dengan anggaran kos RM3.5 juta menggunakan peruntukan PBT.

Jelasnya, skop projek melibatkan kerja-kerja menaik taraf sistem saliran air padang, permukaan padang serta pembinaan trek balapan.

“Ketika ini, projek masih berada di peringkat pelantikan perunding dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2026,” katanya lagi.

Mengulas lanjut mengenai ciri-ciri baharu MyKiosk 2.0, Kor Ming berkata, reka bentuk kiosk telah dinaik taraf berdasarkan maklum balas peniaga.

“Antaranya termasuk peningkatan kapasiti tenaga solar, pemasangan kipas untuk keselesaan, penggunaan bahan binaan tahan lasak, lampu LED reka bentuk bumbung baharu bagi mengelakkan takungan air serta kemudahan tingkap hidraulik dan rak mudah laras bagi memudahkan susun atur produk,” jelasnya lagi.

Kor Ming berkata, inisiatif MyKiosk kekal menjadi antara program utama kementerian dalam membantu rakyat berniaga secara lebih sistematik dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi tempatan selari dengan agenda Kerajaan MADANI.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button