BERITA SEMASA

Dasar luar Malaysia terhadap Palestin, Isu Kampung Baru antara tumpuan hari pertama sidang Parlimen

KUALA LUMPUR – Pendirian dasar luar Malaysia terhadap Palestin serta isu pembangunan Kampung Baru antara perkara utama yang menjadi tumpuan pada hari pertama Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-15 yang bermula hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh (PH) akan mengemukakan soalan kepada Menteri Luar berhubung perubahan utama dalam dasar luar Malaysia selepas Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam, khususnya berkaitan pendirian negara terhadap situasi di Palestin.

Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin (PN) pula meminta penjelasan daripada Perdana Menteri mengenai cabaran yang dihadapi dalam pembangunan tanah rizab Melayu di ibu negara, terutamanya di Kampung Baru.

Beliau turut ingin mengetahui sejauh mana faktor seperti pemilikan tanah bertindih dan nilai pasaran yang terhad menyumbang kepada kesukaran pembangunan kawasan berkenaan.

Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN) pula mengemukakan soalan kepada Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam mengenai perkembangan dan kesiapsiagaan pasaran dagang karbon negara.

Beliau juga ingin tahu jumlah memorandum persefahaman (MoU) dua hala yang telah dimeterai kerajaan dalam pasaran kredit karbon berdasarkan Sumbangan Ditentukan Negara (NDC) menurut Artikel 6.2 Perjanjian Paris.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN) akan mengajukan soalan kepada Perdana Menteri mengenai status terkini cadangan pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen (PH) turut bertanya kepada Menteri Pertahanan mengenai sama ada kementerian berkenaan telah menjalankan sebarang kajian pascanilai terhadap pelaksanaan modul Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) setakat ini.

Selepas sesi soal jawab, persidangan dijadual diteruskan dengan pembentangan Rang Undang-Undang Sewa Beli (Pindaan) 2025 untuk bacaan kali pertama oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Turut dijadualkan tiga sesi penerangan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melibatkan insiden letupan gas di Putra Heights, potensi serta hala tuju air bawah tanah di Malaysia, dan isu penjagaan serta pendidikan awal kanak-kanak di negara ini.

Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-15 akan berlangsung selama 35 hari dan dijangka berakhir pada 4 Disember 2025

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button