Bekas Ahli Parlimen Pasir Puteh meninggal dunia
PASIR PUTEH – Bekas Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Che Min Che Ahmad, meninggal dunia di kediamannya di Kampung Nara, di sini hari ini.
Allahyarham yang berusia 79 tahun menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 3 petang.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pasir Puteh.
Cucu saudaranya, Nur Zirahaida Sohok, 37, berkata, Allahyarham ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam bilik air oleh ahli keluarga.
“Datuk saudara baharu pulang dari Bangi, Selangor pagi tadi ke kampung untuk menghadiri kenduri arwah bapa saya iaitu anak saudaranya ke-100 hari pada hari ini.
“Pagi tadi saya ada menghubunginya tanya hendak makan apa untuk sarapan, namun dia beritahu penat dan tidak mahu makan serta hendak tidur,” katanya memetik laporan Sinar Online.
Menurut Nur Zirahaida, Allahyarham seorang yang aktif dan sentiasa mengambil berat terhadap ahli keluarga meskipun usianya sudah lanjut.
Katanya, keluarga mula menyedari sesuatu yang tidak kena apabila Allahyarham tidak hadir ke majlis kenduri yang berlangsung pada hari berkenaan.
“Kami periksa di rumah mendapati terdengar bunyi air di dalam tandas namun apabila dipanggil tiada suara yang menyahut.
“Sehinggalah ada ahli keluarga buka pintu tandas dan mendapati datuk saudara sudah tidak sedarkan diri,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakob menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham menerusi hantaran di Facebook.
“Dengan penuh rasa dukacita, saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Datuk Che Min Che Ahmad, mantan Ahli Parlimen Pasir Puteh, yang telah kembali ke rahmatullah.
“Allahyarham merupakan seorang tokoh yang banyak menabur bakti kepada masyarakat dan negara sepanjang penglibatan beliau dalam dunia politik serta khidmat kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata, jasa dan sumbangan Allahyarham akan terus dikenang sebagai sebahagian daripada sejarah perjuangan yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Saya mendoakan agar ALLAH SWT mengampunkan segala dosa Allahyarham, melimpahkan rahmat-Nya, menerima segala amal kebajikan yang telah dilakukan serta menempatkan roh Allahyarham dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.
“Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga. Semoga dikurniakan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi saat yang penuh ujian ini,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








