Kedai Emas Sri Semantan nafi sebagai scammer, miliki kedai dan kilang sendiri
KUALA LUMPUR – Kedai Emas Sri Semantan Sdn Bhd (KESS) menafikan dakwaan yang melabelkan syarikat mereka sebagai scammer berikutan isu tular mengenai program simpanan dan “Special Trade-In” (STI).
Pengarah Pembangunan Perniagaan KESS, Datuk Nasarudin Mohamed Tahir berkata, pihaknya menyedari wujud persepsi dalam kalangan sesetengah masyarakat yang mengaitkan KESS dengan dakwaan sebagai ‘scammer’.
Menurutnya, persepsi itu bukan sahaja datang daripada orang luar, malah pernah timbul dalam kalangan individu yang baharu mengenali konsep perniagaan KESS.
“Kami faham apabila kita melakukan sesuatu yang berbeza dan berkembang dengan cepat, pelbagai persepsi boleh timbul.
“Namun, KESS merupakan satu ekosistem perniagaan emas yang merangkumi kedai emas, kilang emas di Puncak Alam serta Sri Semantan Lifestyle,” katanya ketika ditemui pemberita ketika pelancaran kedai emas ke-23 KESS di sini.

Beliau berkata, pihaknya tidak menganggap model perniagaan yang diamalkan sebagai pemasaran berbilang aras, sebaliknya menyifatkannya sebagai ekosistem yang menghubungkan pengeluaran, pengedaran dan jualan emas.
Katanya, pihak KESS turut mengambil tindakan terhadap beberapa dakwaan yang disebarkan di media sosial.
“Kami telah mengambil tindakan terhadap beberapa individu di media sosial termasuk menghantar surat tuntutan (LOD) berhubung dakwaan yang kami anggap sebagai fitnah.
“Kami memilih untuk terus fokus kepada apa yang sedang kami lakukan dan memberikan penjelasan kepada masyarakat,” katanya.
Dalam perkembangan sama, KESS turut menyatakan komitmen untuk meneruskan program jelajah, karnival dan aktiviti bersama komuniti di pelbagai lokasi bagi memperluas jaringan kerjasama serta mendekati masyarakat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








