JENAYAH & MAHKAMAH

Scammer kuih raya sebabkan kerugian RM300,000 – Polis Perak

GOPENG – Polis Perak mengesan sindiket penipuan melibatkan tempahan kuih raya dan juadah yang menyebabkan kerugian hampir RM300,000.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, jumlah kerugian itu melibatkan tujuh kes penipuan yang dilaporkan tahun ini dengan modus operandi yang sama.

Jelas beliau, sindiket terbabit menyasarkan peniaga makanan terutama pengusaha katering dan pastri dengan membuat tempahan makanan atau kuih dalam jumlah tertentu sebelum memperdaya mangsa untuk membuat bayaran kepada pihak ketiga.

“Selepas tempahan dibuat, suspek biasanya akan menghubungi semula mangsa dan meminta item tambahan yang biasanya tidak dihasilkan oleh pengusaha berkenaan.

“Apabila pengusaha memaklumkan tidak dapat menyediakan item tambahan tersebut, suspek akan memberikan satu nombor telefon lain kononnya pembekal yang boleh membantu mendapatkan barangan itu,” katanya, hari ini.

Noor Hisam berkata, modus operandi tersebut sebenarnya telah dikesan sejak tahun lalu dengan 66 kes penipuan direkodkan di negeri ini.

“Dalam kes berkenaan, kedua-dua pihak sebenarnya adalah scammer. Jadi mangsa menanggung dua kerugian iaitu kos menyediakan tempahan makanan dan wang yang dibayar kepada pemilik nombor yang diberikan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengusaha supaya lebih berhati-hati apabila menerima tempahan, khususnya yang melibatkan jumlah besar.

“Jika melibatkan tempahan bernilai besar, sebaiknya berurusan secara bersemuka dan ambil deposit terlebih dahulu sebelum menyediakan pesanan.

“Sekurang-kurangnya jika ada deposit, kerugian dapat diminimumkan sekiranya berlaku penipuan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button