Kontraktor elektrik rugi lebih RM152,000 ditipu tawaran projek kerajaan palsu
KUALA TERENGGANU – Seorang kontraktor elektrik kerugian RM152,550 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan menawarkan projek kerajaan yang sebenarnya tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa berusia 68 tahun membuat laporan polis pada pukul 2 petang semalam selepas menyedari dirinya diperdaya oleh suspek yang menggunakan nama ‘Nik Sahril’.
Menurut beliau, mangsa menerima e-mel pada 14 Julai lalu daripada individu yang mendakwa sebagai pegawai KPKT menggunakan alamat e-mel nik_sahril@jkt.my dengan menawarkan projek pemasangan lampu solar di Kampung Tanjung Baru, Hulu Terengganu.
“Selepas menunjukkan minat, mangsa menghubungi suspek melalui aplikasi WhatsApp dan diminta menghantar profil syarikat bagi tujuan semakan serta pendaftaran.
“Beberapa hari kemudian, mangsa sekali lagi dihubungi dan ditawarkan projek membekalkan alat jana kuasa kepada KPKT di Putrajaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azli berkata, suspek kemudian mengarahkan mangsa membuat dua pembayaran ke akaun syarikat yang berbeza kononnya bagi urusan pembekalan sembilan unit alat jana kuasa.
Mangsa membuat pembayaran pertama sebanyak RM50,850 pada 22 Julai sebelum memasukkan RM101,700 lagi ke akaun syarikat lain pada keesokan harinya, menjadikan jumlah keseluruhan kerugian sebanyak RM152,550.
Katanya, suspek menjanjikan bayaran projek bernilai RM252,000 akan diterima dalam tempoh enam hari.
Bagaimanapun, mangsa mula curiga selepas mendapatkan nasihat daripada pihak audit yang menguruskan syarikatnya sebelum dimaklumkan bahawa tawaran tersebut dipercayai merupakan satu penipuan.
“Mangsa kemudian cuba menghubungi suspek, namun gagal sebelum tampil membuat laporan polis,” katanya.
Beliau berkata, wang yang digunakan bagi membuat pembayaran itu adalah milik syarikat mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Menurut Azli, siasatan awal mendapati kes tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan satu lagi kes penipuan yang dilaporkan sebelum ini di daerah sama membabitkan individu yang menggunakan nama ‘Nik Sahril’ untuk menawarkan tender kerajaan palsu.
“Polis tidak menolak kemungkinan kedua-dua kes didalangi individu atau sindiket yang sama dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















