LUAR NEGARA

Lebih 3,000 kes Ebola direkodkan di Congo, 1,405 maut akibat varian Bundibugyo

KINSHASA – Republik Demokratik Congo (DRC) terus berdepan krisis kesihatan awam apabila jumlah kes Ebola yang disahkan meningkat kepada 3,200 kes, dengan 1,405 kematian, menurut data rasmi kerajaan negara itu.

Wabak yang diisytiharkan pada 15 Mei 2026 itu kini merupakan wabak Ebola ke-17 yang melanda DRC, dengan wilayah Ituri di timur laut negara itu kekal sebagai kawasan paling teruk terjejas akibat penularan penyakit berkenaan, lapor agensi berita antarabangsa, Reuters.

Selain Ituri, jangkitan turut dilaporkan di empat wilayah lain iaitu North Kivu, South Kivu, Haut-Uele dan Tshopo, menjadikan keseluruhan lima wilayah terkesan setakat ini.

Pihak berkuasa kesihatan memaklumkan peningkatan jumlah kes sebahagiannya berpunca daripada usaha pengesanan kontak, ujian makmal dan kapasiti diagnostik yang dipertingkatkan, sekali gus membolehkan lebih banyak jangkitan dikenal pasti.

Lebih membimbangkan, wabak kali ini disebabkan oleh varian Bundibugyo, sejenis virus Ebola yang masih belum mempunyai vaksin atau rawatan khusus yang diluluskan, sekali gus menyukarkan usaha membendung penularannya.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), wabak itu dijangka berterusan untuk beberapa bulan lagi berikutan cabaran besar di lapangan termasuk konflik bersenjata, pergerakan penduduk, kesukaran mengesan rantaian jangkitan serta kekurangan tenaga kerja kesihatan.

Keadaan turut diburukkan apabila sebahagian petugas kesihatan melancarkan mogok kerana menuntut bayaran gaji tertunggak yang menjejaskan operasi rawatan dan pemantauan di beberapa hospital di kawasan terjejas.

WHO turut memberi amaran bahawa sebahagian besar kes baharu kini berpunca daripada rantaian jangkitan yang tidak dapat dikenal pasti, menunjukkan virus itu terus menular dalam komuniti tanpa dapat dikesan sepenuhnya.

Selain DRC, kes berkaitan wabak Bundibugyo turut dikesan di Uganda, manakala beberapa kes import melibatkan petugas kemanusiaan dan perubatan telah direkodkan di Jerman serta Perancis, namun negara-negara terbabit berjaya mengawal penularan lanjut melalui pengesanan awal dan pengasingan pesakit.

Ebola ialah penyakit demam berdarah yang sangat berbahaya dan merebak melalui sentuhan langsung dengan darah atau cecair badan individu yang dijangkiti, termasuk mangsa yang telah meninggal dunia.

Sejak virus itu pertama kali dikenal pasti pada 1976, wabak Ebola telah meragut puluhan ribu nyawa di benua Afrika, dengan wabak terbesar berlaku di Afrika Barat antara 2014 hingga 2016.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button