Penularan Ebola di Congo cecah 1,000 kes, ragut 17 nyawa
KIGALI – Jumlah kes disyaki Ebola di Republik Demokratik Congo meningkat mendadak kepada 1,077 kes sejak wabak itu diisytiharkan pada 15 Mei lalu, dengan 17 kematian direkodkan setakat ini.
Menurut laporan situasi terbaharu Kementerian Kesihatan negara itu, sebanyak 121 kes telah disahkan positif Ebola, manakala penularan wabak kini melibatkan 13 zon kesihatan di tiga wilayah utama iaitu Ituri, Kivu Utara dan Kivu Selatan.
Agensi berita Anadolu Ajansi melaporkan, pihak kementerian memaklumkan operasi pemantauan, saringan serta kempen kesedaran komuniti terus dipertingkat walaupun berdepan cabaran operasi di lapangan.
“Operasi pemantauan, saringan dan kesedaran komuniti terus dipergiat walaupun terdapat cabaran operasi yang dilaporkan di lapangan,” menurut kementerian itu.
Susulan peningkatan kes, pihak berkuasa Congo menggantung pelbagai aktiviti sosial di wilayah Ituri yang menjadi pusat penularan wabak termasuk acara sukan bagi mengekang penyebaran penyakit tersebut.
Menteri Kesihatan Awam Congo, Roger Kamba berkata, kira-kira 3,600 individu dikenal pasti mempunyai kontak rapat dengan pesakit yang dijangkiti Ebola.
Sementara itu, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (Africa CDC) memberi amaran bahawa 10 negara berisiko berdepan penularan wabak berkenaan termasuk Rwanda, Kenya, Tanzania, Angola, Burundi, Republik Afrika Tengah, Republik Congo, Ethiopia, Sudan Selatan dan Zambia.
Dalam perkembangan berkaitan, Uganda merekodkan tujuh kes Ebola sejak wabak semasa bermula dan pada Rabu mengumumkan penutupan sementara sempadannya dengan Congo bagi mengurangkan risiko penularan penyakit itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |















