Sukan Komanwel: Malaysia raih dua emas, naik ke tangga ketujuh
GLASGOW – Skuad angkat berat negara mencetuskan kebangkitan Malaysia di Sukan Komanwel Glasgow 2026 apabila menghadiahkan dua pingat emas dan satu gangsa pada hari ketiga pertandingan, sekali gus melonjakkan kedudukan kontinjen negara ke tangga ketujuh carta pingat.
Menurut laporan BERNAMA, Mohamad Aniq Kasdan menceriakan kem negara dengan menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia menerusi kategori 60 kilogram (kg) lelaki selepas mencatat jumlah angkatan 273kg di Scottish Event Campus (SEC) Armadillo.
Beliau turut mencipta dua rekod temasya menerusi angkatan 152kg dalam clean and jerk serta jumlah keseluruhan 273kg.
Kegembiraan kem negara diteruskan beberapa jam kemudian apabila Muhamad Aznil Bidin meraih emas Sukan Komanwel buat kali ketiga berturut-turut selepas mengungguli kategori 65kg lelaki dengan jumlah angkatan 299kg.
Atlet berusia 32 tahun itu turut memperbaharui tiga rekod temasya menerusi angkatan snatch 133kg, clean and jerk 166kg serta jumlah keseluruhan 299kg.
Turut mencuri tumpuan ialah Irene Jane Henry yang menghadiahkan pingat gangsa dalam kategori 48kg wanita pada penampilan sulungnya di Sukan Komanwel selepas mencatat jumlah angkatan 167kg.
Dalam boling padang, pasangan wanita Aleena Ahmad Nawawi-Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman meneruskan rentak positif selepas menewaskan pasangan tuan rumah, Beth Riva dan Caroline Brown, pada perlawanan keempat peringkat kumpulan.
Pemain perseorangan lelaki, Izzat Shameer Dzulkeple turut merakam kemenangan keempat berturut-turut pada peringkat kumpulan, sekali gus mencerahkan peluangnya untuk mara ke separuh akhir.
Sementara itu, dua gimnas artistik wanita, Yeap Kang Xian dan Cadence Teh Zi Qi, masing-masing menamatkan saingan final individu all-around di tempat kelapan dan ke-12.
Dalam acara bola keranjang berkerusi roda 3×3 lelaki, skuad negara gagal mengekang cabaran Scotland apabila tewas 6-18 pada aksi kedua peringkat kumpulan.
Dalam acara renang pula, kuartet negara yang dibarisi Khiew Hoe Yean, Arvin Shaun Singh Chahal, Lim Yin Chuen dan Tan Khai Xin menamatkan final 4×200 meter (m) gaya bebas lelaki di tempat kelima dengan catatan tujuh minit 23.72 saat (s).
Tumpuan kontinjen negara esok terarah kepada Muhammad Erry Hidayat yang akan meneruskan cabaran kem angkat berat dalam final kategori 79kg lelaki pada pukul 3 pagi Selasa waktu Malaysia.
Pemenang pingat perak Birmingham 2022 itu dijangka menjadi sandaran utama Malaysia untuk meneruskan momentum cemerlang skuad angkat berat, selain memburu emas pertamanya di pentas Sukan Komanwel.
Turut berpeluang menambah koleksi pingat negara ialah gimnas Mohammad Sharul Aimy Kamaru Hisam dalam final senaman lantai lelaki, diikuti Rachel Yeoh Li Wen dalam final palang bertingkat wanita.
Malaysia kini menduduki tempat ketujuh dalam carta pingat dengan dua emas dan dua gangsa.
Juara bertahan Australia mengungguli carta dengan 17 emas, sembilan perak dan 13 gangsa, diikuti England di tempat kedua dengan empat emas, sembilan perak dan enam gangsa, manakala kontinjen tuan rumah menghuni kedudukan ketiga menerusi empat emas dan dua perak.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














