Pemenang pingat emas Sukan Komanwel bertarung penyakit saraf: Saravanan tidak mampu bercakap, berjalan
KUALA LUMPUR – Seorang wira sukan negara, G Saravanan yang pernah mengharumkan nama Malaysia dengan memenangi pingat emas acara 50 kilometer jalan kaki pada Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur, kini berdepan ujian hidup paling getir apabila diserang penyakit saraf serius.
Saravanan, 56, disahkan menghidap Motor Neurone Disease (MND) sejak 2021, sejenis penyakit yang secara beransur-ansur menjejaskan keupayaan bergerak, bercakap dan makan.
Bekas atlet dan jurulatih pasukan Pulau Pinang itu kini tidak lagi mampu berjalan atau bertutur, malah terpaksa diberi makan melalui tiub yang disambungkan ke tekaknya.
Beliau juga bergantung kepada prosedur trakeostomi untuk bernafas, selain memerlukan bantuan anaknya bagi membersihkan saluran pernafasan setiap beberapa jam.
Saravanan yang turut meraih emas acara sama pada temasya Sukan SEA 2001, dilaporkan mengalami penurunan berat badan drastik sebanyak 35 kilogram (kg) iaitu daripada 75kg kepada hanya 40kg.

Isterinya, M Sassikala bersama tiga anak mereka (seorang lelaki dan dua perempuan), kini menjaga beliau sepenuh masa di kediaman mereka di Bukit Mertajam.
Hanya anak lelaki mereka, Prasad yang bekerja, manakala ahli keluarga lain menumpukan sepenuh perhatian kepada penjagaan Saravanan.
Menurut Sassikala, suaminya masih menunjukkan semangat juang tinggi meskipun dalam keadaan kritikal.
BACA JUGA:
Pemenang pingat emas Sukan Komanwel KL diuji penyakit sama seperti Allahyarham Mokhtar Dahari
“Baru-baru ini dia dirawat selama 20 hari di unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital swasta di Pulau Pinang dan hampir meninggal dunia selepas berhenti bernafas selama dua minit, namun doktor berjaya menyelamatkannya,” katanya memetik laporan NST.
Beliau berkata, kos rawatan mencecah RM100,000 dan had kad perubatan telah digunakan sepenuhnya, memaksa mereka membawa Saravanan pulang untuk meneruskan rawatan di rumah.
Kos penjagaan di rumah dianggarkan sekitar RM2,000 sebulan, dengan bantuan bayaran semula daripada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb).
“Suami saya tidak boleh makan dan hanya diberi makan melalui tiub. Dia juga tidak boleh berkomunikasi, hanya menggunakan bahasa isyarat jika memerlukan sesuatu.
“Pada waktu malam, dia bergantung kepada tong oksigen. Peralatan seperti tangki oksigen dan ventilator pula disumbangkan oleh PERKESO,” katanya.
Tambah Sassikala, keluarga mereka masih mampu bertahan buat masa ini hasil pendapatan anak serta sumbangan orang ramai yang diterima sebelum ini, namun bimbang sekiranya Saravanan perlu dimasukkan semula ke hospital.
“Kami mungkin memerlukan bantuan orang ramai jika itu berlaku. Kami tidak putus berdoa agar dia kembali pulih,” katanya.
Sementara itu, bekas atlet jalan kaki negara, B. Thirukumaran yang mengenali Saravanan hampir 40 tahun menyifatkan keadaan sahabatnya itu amat menyayat hati.
“Dia seorang pejuang. Saya sudah beberapa kali melawatnya dan tahu dia kuat menghadapi ujian ini,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |















