BERITA SEMASA

Pemenang pingat emas Sukan Komanwel KL diuji penyakit sama seperti Allahyarham Mokhtar Dahari

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan kepada bekas atlet kebangsaan, G. Saravanan yang kini sedang mendapatkan rawatan akibat penyakit Motor Neurone Disease (MND).

Sumbangan itu disampaikan oleh Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi di sini hari ini.

Menurut Farhan, pemenang pingat emas dalam acara 50 kilometer lumba jalan kaki di Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 itu bukan sekadar atlet biasa malah adalah lambang kebanggaan negara.

“Namun takdir kini menguji seorang juara. Pada tahun 2021, beliau disahkan menghidap MND, penyakit yang sama menimpa legenda bola sepak negara, Allahyarham Mokhtar Dahari.

“Kisah perjuangan beliau melawan penyakit ini telah mendapat perhatian Perdana Menteri dan isteri.

“Hari ini, saya mewakili Perdana Menteri dan Isteri menziarahi saudara G. Saravanan bagi menyampaikan sumbangan sebagai tanda keprihatinan dan sokongan moral kepada beliau,” katanya.

Bekas atlet kebangsaan, G Saravanan menerima sumbangan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli serta wakil daripada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).

Dalam pada itu katanya, beliau turut meluangkan masa untuk mendengar sendiri kisah bekas atlet kebangsaan itu.

“Meskipun pertuturan beliau kini terbatas, kekuatan semangat yang terpancar jelas menggambarkan betapa tabahnya beliau menghadapi ujian ini. Api semangat sang juara yang tidak akan pernah terpadam.

“Semoga Saudara G. Saravanan terus diberikan kekuatan fizikal dan ketenangan jiwa dan seluruh ahli keluarga beliau dikurniakan ketabahan, ketenangan hati serta dipermudahkan segala urusan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button