SUKAN

PM ucap tahniah kepada Aniq hadiahkan emas pertama negara

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada jaguh angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan atas kejayaannya menghadiahkan pingat emas pertama buat Malaysia pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar berkata, kejayaan atlet berusia 24 tahun itu bukan sahaja mengharumkan nama negara malah diharap menjadi pencetus semangat kepada seluruh kontinjen Malaysia untuk terus memburu kejayaan di temasya berkenaan.

“Tahniah Mohamad Aniq atas kejayaan menghadiahkan pingat emas pertama kepada Malaysia di Glasgow! Seluruh negara berbangga dengan kejayaan saudara mengharumkan nama Malaysia.

“Semoga detik bermakna ini membakar semangat atlet kita di Sukan Komanwel untuk terus memburu kejayaan dan membawa pulang lebih banyak pingat. Doa seluruh rakyat Malaysia mengiringi perjuangan kalian,” katanya.

Terdahulu, Aniq mencipta sejarah apabila muncul juara kategori 60 kilogram (kg) lelaki selepas melakukan angkatan keseluruhan 273kg pada aksi final hari ini.

Lebih membanggakan, beliau turut memecahkan dua rekod temasya menerusi angkatan keseluruhan 273kg dan 152kg dalam acara clean & jerk, selain mencatat angkatan 121kg bagi acara snatch.

Pingat perak dimenangi atlet India, Rishikanta Singh dengan jumlah angkatan 264kg, manakala gangsa menjadi milik Joshua Amunga Mboya dari Kenya selepas mencatat 260kg.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button