BERITA SEMASASUKAN

Sukan Komanwel 2026: Malaysia capai sasaran lima pingat emas

GLASGOW – Kontinjen Malaysia berjaya melengkapi sasaran lima pingat emas pada Sukan Komanwel 2026, di sini selepas pemegang rekod dunia lompat jauh para T20, Datuk Abdul Latif Romly menghadiahkan pingat emas kelima negara, malam tadi.

Abdul Latif meraih pingat emas menerusi lompatan sejauh 7.17 meter (m) pada percubaan ketiga dalam keadaan hujan dan cuaca sejuk di Stadium Scotstoun, lapor BERNAMA.

Kejayaan itu turut diserikan dengan pingat gangsa menerusi seorang lagi atlet negara, Eljoe Gotuoh yang mencatat lompatan sejauh 6.51m.

Terdahulu, atlet angkat berat negara, Muhammad Hafizuddin Roslin menghadiahkan pingat emas keempat Malaysia menerusi acara 88 kilogram (kg) lelaki.

Atlet berusia 22 tahun itu mencatat jumlah angkatan 345kg, dengan angkatan 162kg dalam disiplin snatch dan 183kg dalam clean and jerk, sekali gus memecahkan rekod temasya bagi kedua-dua angkatan pada penampilan sulungnya di Sukan Komanwel.

Malaysia turut menambah dua pingat perak menerusi pasangan boling padang wanita, Aleena Ahmad Nawawi-Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman dalam acara beregu wanita, serta Izzat Shameer Dzulkeple dalam acara perseorangan lelaki.

Aleena dan Syafiqa tewas kepada pasangan England, Amy Pharaoh-Sian Honnor pada aksi final, manakala Izzat Shameer yang mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama memenangi pingat dalam acara perseorangan lelaki, turut akur kepada wakil England, Sam Tolchard.

Syafiqa yang kini hamil lima bulan menyifatkan pingat perak itu sebagai hadiah paling bermakna buat dirinya dan bayi yang dikandung.

Dalam perkembangan lain, pemain nombor satu dunia, Emma Firyana Saroji serta pasangan beregu lelaki Amirul Danial Abdul Rahim-Mohammad Soufi Rusli memulakan kempen masing-masing dengan kemenangan pertama dalam acara perseorangan wanita dan beregu lelaki.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi gimnas artistik negara, Muhammad Sharul Aimy Kamaru Hisam yang terlepas peluang meraih pingat selepas menamatkan saingan di tempat keempat menerusi kiraan pemisah (tie-breaker), walaupun mengumpul jumlah mata keseluruhan yang sama dengan pemenang gangsa dari Cyprus, Neofytos Kyriakou, dalam acara lompatan lelaki.

Selepas pencapaian malam tadi, Malaysia berada di tangga keenam carta pungutan pingat dengan lima emas, dua perak dan tiga gangsa. Australia terus mendahului kedudukan dengan 35 emas, 18 perak dan 27 gangsa, diikuti Kanada (13 emas, 10 perak, 12 gangsa) dan England (10 emas, 18 perak, 15 gangsa).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button