BERITA SEMASA

Anwar, Awang Hashim selesai kes saman fitnah secara baik

KUALA LUMPUR – Kes saman fitnah yang difailkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim, diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Peguam yang mewakili Anwar, Datuk SN Nair, memaklumkan kepada Hakim Roslan Mat Nor bahawa kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan terhadap terma penyelesaian yang dipersetujui bersama.

Menurutnya, susulan persetujuan itu, Anwar selaku plaintif menarik balik tindakan guaman berkenaan tanpa sebarang perintah mengenai kos dan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula kes yang sama.

“Kedua-dua pihak ingin merekodkan terma-terma yang dipersetujui. Sehubungan itu, plaintif menarik balik tindakan guaman ini tanpa perintah mengenai kos dan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula.

“Kedua-dua pihak turut melampirkan satu salinan kenyataan awam yang telah dipersetujui bersama dengan usul persetujuan ini,” memetik BH online.

Peguam yang mewakili Awang Solahuddin, Yusfarizal Yussoff, turut mengesahkan perkara tersebut.

Susulan penyelesaian berkenaan, mahkamah melapangkan tarikh perbicaraan yang sebelum ini telah ditetapkan.

Kes itu sebelum ini membabitkan saman fitnah yang difailkan Anwar terhadap Awang Solahuddin berhubung kenyataan yang didakwa mencemarkan reputasi Perdana Menteri.

Namun, kedua-dua pihak akhirnya memilih untuk menyelesaikan pertikaian tersebut secara baik melalui persetujuan bersama.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button