SUKANBERITA SEMASA

Aniq Kasdan terus unggul raih dua perak di Kejohanan Dunia 2024

KUALA LUMPUR – Atlet angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan, mencipta sejarah dengan meraih dua pingat perak dalam acara clean & jerk dan keseluruhan bagi kategori 61 kilogram di Kejohanan Angkat Berat Dunia 2024 yang berlangsung di Manama, Bahrain, semalam.

Aniq mencatatkan angkatan 166kg dalam clean & jerk, menyumbang kepada jumlah keseluruhan 296kg, sekali lagi mengukuhkan reputasinya selepas kejayaan memenangi emas pada Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Bagi snatch Aniq di kedudukan keempat selepas melakukan angkatan 130kg sekali gus terlepas peluang untuk sekurang-kurangnya membawa pulang gangsa.

Ini kali ketiga Aniq memenangi pingat pada Kejohanan Dunia selepas meraih perak dalam acara clean & jerk kategori 55kg pada edisi 2021 di Uzbekistan dan gangsa tahun lalu bagi clean & jerk 61kg di Riyadh, Arab Saudi.

Pingat emas dalam acara clean & jerk dan keseluruhan diraih wakil Korea Utara, Pak Myong Jin yang melakukan 173kg serta 305kg.

Myong Jin turut meraih emas bagi saingan snatch apabila melakukan 132kg, diikuti Nguyen Tran Anh Tuan (Vietnam) di tempat kedua (131kg) dan Garnik Cholakyan (Armenia) di kedudukan ketiga (131kg).

“Alhamdulilah rezeki di bumi Bahrain,” kata atlet berusia 22 tahun kelahiran Johor di Instagram miliknya.

Sebagai rekod, Aniq memegang rekod kebangsaan keseluruhan kategori 61kg selepas melakukan angkatan berjumlah 297kg di Olimpik Paris lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button