BERITA SEMASASUKAN

Isu pemalsuan dokumen: TMJ minta orang dalam FAM bertanggungjawab, jangan jadikan baginda kambing hitam

KUALA LUMPUR – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menegaskan ‘orang dalam’ sepatutnya tampil bertanggungjawab berhubung isu pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain Harimau Malaya, bukannya melepaskan diri dan menjadikan baginda sebagai kambing hitam.

Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mendakwa terdapat beberapa individu dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang tidak berpuas hati dengan baginda.

Baginda turut memaklumkan terdapat pihak yang kecewa apabila kerajaan membantu menyalurkan dana kepada pasukan kebangsaan selain mendakwa wujud kempen sabotaj menggunakan pelbagai naratif.

“Beberapa orang dalam FAM memang tak puas hati dengan saya dari dahulu kerana tak boleh buat duit. Ada beberapa yang datang minta saya tolong nak dapatkan projek, ada juga yang datang minta tolong tak disiasat SPRM dan macam-macam.

“Tetapi ramai yang kecewa apabila kerajaan membantu beri dana kepada pasukan kebangsaan. Ramai tak puas hati kerana ada yang tak terlibat. Jadi secara senyap berjumpa Ultras Malaya, beberapa orang media dan beberapa orang dalam media sosial. Untuk mula kempen sabotaj dan menggunakan pelbagai naratif.

“Kes FIFA ialah kes pemalsuan, bukan kelayakan kerakyatan, tetapi pemalsuan serta penyerahan dokumen. Siapa yang membuat penyerahan dokumen yang salah? Ejen dan siapa dalam FAM? Mengapa tak menyerahkan dokumen yang sah daripada JPN? Kerana mahu melindungi orang dalam, pemain pula dipersalahkan.

“Orang dalam patut bertanggungjawab. Bukan lepas tangan dan gunakan penyokong dan media untuk jadikan saya kambing hitam,” tulis Tunku Mahkota Ismail di X.

Terdahulu, Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dalam kenyataan pada Khamis lalu menolak rayuan daripada FAM dan tujuh pemain iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Imanol Machuca, Facundo Garces dan Rodrigo Holgado.

Keputusan itu menyaksikan tindakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang mengenakan denda CHF350,000 (RM1.8 juta) ke atas badan induk bola sepak negara itu serta penggantungan 12 bulan terhadap tujuh pemain terbabit kekal.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button