SUKAN

Kepulangan F1 ke SIC dijangka rancakkan ekonomi negara

KUALA LUMPUR – Kepulangan perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Bahrain Gulf Air ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Oktober ini dijangka memberi limpahan ekonomi kepada negara, selain menjadi petunjuk penting terhadap potensi Malaysia kembali menjadi tuan rumah tetap saingan berprestij itu pada masa depan.

Tokoh-tokoh industri sukan permotoran berpandangan penganjuran perlumbaan berkenaan mampu merancakkan sektor pelancongan, hospitaliti serta industri berkaitan, di samping menguji keupayaan negara menganjurkan semula perlumbaan F1 selepas kali terakhir berbuat demikian pada 2017.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali, berkata pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah bagi perlumbaan sekali sahaja itu merupakan keputusan yang tepat.

“Jika melihat kepada perbincangan mengenai litar alternatif lain termasuk Portimao (Portugal), Malaysia dilihat sebagai pilihan yang paling menjimatkan kos.

“Apa jua bentuk penganjurannya, sama ada di bawah Grand Prix Bahrain atau sebaliknya, ia tetap memberi manfaat kepada Malaysia kerana rakyat berpeluang menikmati perlumbaan F1 sekali lagi,” katanya kepada BERNAMA.

Formula 1 dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) mengesahkan Malaysia akan menjadi tuan rumah GP Bahrain di SIC dari 2 hingga 4 Oktober 2026, tertakluk kepada pemeteraian perjanjian akhir serta kelulusan rasmi termasuk daripada Majlis Sukan Permotoran Dunia.

Perlumbaan itu akan berlangsung di antara GP Azerbaijan dan GP Singapura dalam kalendar F1.

Razlan berkata, penganjuran perlumbaan itu dalam tempoh singkat tidak dijangka menimbulkan masalah operasi yang besar kerana SIC tidak memerlukan pengubahsuaian utama untuk menganjurkan F1, manakala sebarang naik taraf infrastruktur bergantung kepada pihak Bahrain.

“SIC sentiasa diurus dan dikendalikan mengikut piawaian tertinggi, khususnya litar yang diperakui pada tahap tertinggi oleh FIM. FIA hanya perlu menjalankan pemeriksaan kerana ketika ini litar berkenaan belum diperakui untuk F1, namun saya tidak menjangkakan timbul sebarang isu teknikal yang besar.

“Sebarang perubahan kepada litar tidak memberi kesan ketara kepada perlumbaan kereta. Dari segi operasi pula, tidak banyak yang perlu dilakukan melainkan Bahrain mahu melaksanakan naik taraf tertentu yang turut memberi manfaat kepada SIC dari segi infrastruktur. Pada pandangan saya, kemudahan sedia ada sudah memadai,” katanya.

Mengulas kemungkinan perlumbaan itu membuka laluan kepada kepulangan F1 secara tetap ke Malaysia, Razlan menyifatkan ia “agak tipis” berikutan kos penganjuran yang tinggi, melainkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu meneliti perkara itu dengan lebih lanjut ketika perlumbaan berlangsung.

Mengenai impak ekonomi, beliau berkata perlumbaan itu dijangka merangsang sektor pelancongan domestik, meskipun tempoh persiapan yang singkat mungkin mengehadkan kehadiran pelancong asing memandangkan peminat F1 lazimnya merancang perjalanan mereka sekurang-kurangnya enam bulan lebih awal.

“Bagaimanapun, saya yakin peminat tegar F1 dari seluruh dunia tetap akan berusaha datang ke SIC. Sejauh mana impaknya hanya akan dapat dinilai apabila perlumbaan berlangsung nanti,” katanya.

Razlan berkata, perlumbaan itu turut membuka peluang kepada pembekal tempatan serta pengusaha makanan dan minuman (F&B), selain yakin sambutan rakyat Malaysia akan kekal menggalakkan meskipun harga tiket dijangka tinggi.

“Menjual, mengiklankan dan mempromosikan acara itu merupakan tanggungjawab Bahrain, tertakluk kepada butiran akhir yang sedang dimuktamadkan.

“Bagi Malaysia dan SIC, tanggungjawabnya lebih kepada menyediakan litar. Sudah tentu lebih wajar jika kontraktor, pembekal serta tenaga kerja tempatan digunakan sepanjang penganjuran perlumbaan itu,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Mahathir, menyifatkan kembalinya perlumbaan F1 ke Sepang, meskipun di bawah jenama GP Bahrain sebagai perkembangan yang amat dialu-alukan, khususnya bagi peminat muda yang tidak berpeluang menyaksikan F1 sebelum ia meninggalkan Malaysia selepas musim 2017.

Beliau berkata, peranan MAM lebih tertumpu kepada memastikan penganjuran perlumbaan mematuhi peraturan FIA, termasuk aspek keselamatan, kesiapsiagaan litar dan keperluan tenaga kerja.

Mengenai impak ekonomi, Mokhzani berkata sektor hospitaliti, pelancongan, penerbangan dan makanan serta minuman dijangka menerima manfaat, memandangkan kira-kira 30 peratus penonton F1 dan MotoGP lazimnya terdiri daripada pelancong asing.

Katanya, Malaysia juga dijangka memperoleh kelebihan kerana perlumbaan itu diadakan seminggu sebelum Grand Prix Singapura.

“Ramai peminat akan terus berada di rantau ini, sekali gus memberi manfaat kepada kedua-dua negara. Namun saya percaya kebanyakan mereka akan memilih untuk menginap di Malaysia kerana kosnya lebih rendah berbanding negara jiran,” katanya.

Menurut Mokhzani, profil risiko kewangan Malaysia juga jauh lebih rendah memandangkan kos penganjuran ditanggung oleh Bahrain.

“Apabila pihak lain menanggung kos penganjuran, pulangan pelaburan yang bakal diperoleh Malaysia sudah tentu sangat tinggi,” katanya.

Sementara itu, bekas pelumba F1, Alex Yoong, berkata kepulangan F1 ke Sepang tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai penganjuran satu perlumbaan, sebaliknya sebagai pemangkin kepada pembangunan ekosistem sukan permotoran negara.

Di samping mampu menjana peluang dalam sektor pelancongan dan perniagaan, beliau berkata kejuaraan itu juga perlu dimanfaatkan bagi merangsang pelaburan dalam pembangunan sukan permotoran akar umbi serta melahirkan lebih ramai pelumba tempatan.

“Kita memiliki litar bertaraf dunia dan sebagai bekas pelumba F1 yang banyak terlibat dalam pembangunan sukan permotoran di Malaysia serta rantau ini, saya ingin melihat semula litar di Asia Tenggara kembali berada dalam kalendar F1.

“Bagaimanapun, penganjuran F1 memerlukan asas komersial yang kukuh serta visi yang jelas mengenai nilai yang boleh dibawa kepada Malaysia, bukan sekadar sepanjang hujung minggu perlumbaan,” katanya.

Yoong berharap penganjuran itu dapat menghidupkan semula keseluruhan ekosistem sukan permotoran negara, daripada perlumbaan simulasi dan karting sehinggalah ke kejohanan profesional, di samping menggalakkan lebih banyak pelaburan dalam pembangunan bakat tempatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button