Terpedaya kerja sambilan di Facebook, suri rumah rugi hampir RM96,000
KUALA TERENGGANU – Hasrat seorang suri rumah untuk membantu menambah pendapatan keluarga berakhir dengan kerugian besar apabila wang simpanan suaminya berjumlah RM95,715.40 lesap selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan sambilan tidak wujud.
Wanita berusia 37 tahun itu tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pada pukul 6.02 petang semalam selepas menyedari dirinya diperdaya.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asistan Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa pada awalnya tertarik dengan iklan tawaran kerja sambilan yang ditemui menerusi Facebook ketika berada di rumah pada 8 Mei lalu.
Menurut beliau, selepas menekan pautan yang disediakan, mangsa mula berurusan dengan individu tidak dikenali yang mendakwa mewakili sebuah syarikat sebelum dimasukkan ke dalam kumpulan aplikasi Telegram untuk menerima tugasan.
“Pada peringkat awal, mangsa menerima komisyen sebanyak RM85 hasil daripada dua tugasan yang berjaya diselesaikan, sekali gus meningkatkan keyakinannya terhadap tawaran tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya terus melaksanakan tugasan berikutnya termasuk membuat beberapa pembayaran seperti diarahkan suspek dengan harapan memperoleh pulangan lebih tinggi.
Bagaimanapun, antara 8 hingga 18 Mei lalu, wanita terbabit telah membuat transaksi keseluruhan berjumlah RM95,715.40 ke dalam tujuh akaun bank berbeza namun tidak lagi menerima sebarang komisyen selepas itu.
Kes dipercayai mempunyai unsur penipuan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







