Penolong arkitek rugi RM67,789 ditipu sindiket tawaran kerja
KUALA TERENGGANU – Tawaran kerja sambilan yang kononnya menjanjikan pulangan lumayan bertukar mimpi ngeri apabila seorang penolong arkitek landskap kerugian hampir RM70,000 selepas terperangkap dengan sindiket penipuan kerja tidak wujud yang dipromosikan melalui media sosial.
Mangsa, seorang wanita berusia 20 tahun mengalami kerugian keseluruhan RM67,789 termasuk wang yang dipinjam daripada rakan-rakannya selepas diperdaya sindiket berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, wanita terbabit pada mulanya tertarik dengan iklan tawaran kerja sambilan yang dilihat di laman Instagram pada Jumaat lalu.
“Mangsa menekan pautan yang diberikan sebelum dihubungi seorang individu yang mendakwa sebagai wakil sebuah syarikat fesyen terkenal.
“Suspek kemudian meminta mangsa mengisi maklumat peribadi sebelum disambungkan kepada individu lain melalui aplikasi Telegram,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Menurut Azli, mangsa seterusnya diberikan akses ke sebuah laman web selepas membuat bayaran yuran pendaftaran sebanyak RM10.
Beliau berkata, mangsa dijanjikan komisen lumayan sekiranya melaksanakan tugasan membeli barangan melalui laman web berkenaan.
“Mangsa telah melaksanakan 16 tugasan dengan membuat 11 transaksi pembayaran berjumlah RM67,789 ke dalam lima akaun bank berasingan antara Jumaat hingga semalam.
“Namun, mangsa hanya menerima komisen masing-masing RM50 dan RM280 bagi dua tugasan awal sahaja,” katanya.
Kes disiasat mengikut peruntukan undang-undang berkaitan penipuan dan orang ramai dinasihatkan agar lebih berwaspada terhadap tawaran kerja sambilan yang dipromosikan di media sosial.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















