Deepfake mesyuarat PM: Lelaki rugi S$4.9 juta, diperdaya sindiket penipuan dana Selat Hormuz
SINGAPURA – Seorang lelaki kerugian sekurang-kurangnya S$4.9 juta (RM15.09 juta) selepas diperdaya sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai kanan kerajaan Singapura dan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) deepfake dalam mesyuarat maya palsu.
Menurut Singapore Police Force (SPF), kes berkenaan adalah antara beberapa penipuan membabitkan penyamaran pegawai tertinggi kerajaan termasuk Setiausaha Kabinet.
Polis berkata, sindiket dipercayai menyasarkan golongan profesional perniagaan yang pernah berurusan dengan pegawai kerajaan sebelum ini sebelum mempelawa mereka menghadiri mesyuarat maya kononnya bersama pemimpin negara.
“Dalam satu kes, mangsa menerima mesej WhatsApp menggunakan gambar profil Setiausaha Kabinet, Wong Hong Kuan yang memaklumkan beliau perlu menghadiri mesyuarat bersama Perdana Menteri, Lawrence Wong.
“Mangsa turut menerima e-mel daripada WongHongKuan.secretarycabinet@proton.me yang meminta bantuan dana segera berkaitan situasi di Selat Hormuz,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut polis, e-mel terbabit turut disertakan surat jaminan yang kelihatan rasmi lengkap dengan tandatangan Perdana Menteri Singapura yang mendakwa dana itu akan dibayar balik oleh kerajaan dalam tempoh 15 hari bekerja.
Mangsa kemudian dijemput menyertai persidangan video Zoom yang kononnya membabitkan Lawrence Wong bersama beberapa pegawai kerajaan tempatan dan luar negara.
Bagaimanapun polis berkata, semua peserta dalam persidangan maya itu sebenarnya dihasilkan menggunakan teknologi AI deepfake bagi meyakinkan mangsa.
Selepas mesyuarat berkenaan, mangsa diarahkan memindahkan sekurang-kurangnya S$4.9 juta melalui beberapa transaksi ke akaun bank korporat yang diberikan sindiket.
Mangsa hanya mula berasa curiga selepas menghubungi Setiausaha Kabinet pada Khamis lalu sebelum menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan.
Dalam perkembangan berkaitan, polis memaklumkan tiga individu sudah ditahan dan didakwa pada 9 Mei lalu kerana disyaki terbabit dalam kesalahan berkaitan kad SIM yang mempunyai kaitan dengan modus operandi sama.
SPF turut mengingatkan orang ramai supaya tidak memindahkan wang atau berkongsi maklumat peribadi dengan individu yang identitinya tidak dapat disahkan, selain menegaskan pegawai kerajaan Singapura tidak akan menjalankan urusan rasmi penting melalui e-mel atau panggilan telefon.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















