837 rakyat Malaysia ditahan di luar negara terbabit penipuan dalam talian
KUALA LUMPUR – Aktiviti penipuan dalam talian menjadi antara punca penahanan rakyat Malaysia di luar negara apabila seramai 837 individu dilaporkan ditahan atas kesalahan itu setakat 8 November lalu, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Menurut beliau, daripada jumlah itu, 765 individu terdiri daripada kaum Cina, manakala selebihnya ialah 34 Melayu, 33 India dan lima daripada etnik lain.
“Yang paling ramai ditahan adalah di China, seramai 545 orang, merangkumi 505 lelaki dan 40 perempuan.
“Kedua, rakyat Malaysia yang ramai ditahan atas kesalahan penipuan dalam talian adalah di Singapura, jiran kita, membabitkan jumlah 162 orang, terdiri daripada 148 lelaki dan 14 perempuan.
“Yang lain di Jepun (34), Korea (22), India (20), Indonesia (11), Thailand (10)… yang lain sikit-sikit,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Wong Shu Qi (PH–Kluang) yang meminta kementerian menyatakan bilangan rakyat Malaysia yang kini ditahan atau dijatuhi hukuman di luar negara membabitkan kes penipuan dalam talian mengikut pecahan kaum, jantina dan negara.
Mohamad berkata, secara keseluruhan, jumlah rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara dianggarkan mencecah ribuan orang atas pelbagai kesalahan.
“Penipuan dalam talian hanyalah satu daripada banyak segmen kesalahan yang menjadi faktor penahanan rakyat Malaysia di luar negara,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan rakyat Malaysia yang berada atau bekerja di luar negara supaya berhati-hati serta memahami undang-undang tempatan bagi mengelakkan diri terjebak dalam kegiatan yang menyalahi undang-undang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








