BERITA SEMASAKEMENTERIAN PERTAHANAN

LTAT perkukuh portfolio pelaburan, Project Earth kurangkan pendedahan aset strategik

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sedang berada pada fasa penting penstrukturan semula asetnya apabila rangka kerja baharu Rangka Kerja Perumpukan Aset Strategik (SAA) kini dinilai oleh Kementerian Kewangan bagi memastikan kelestarian portfolio pelaburan jangka panjang kekal kukuh.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, rangka kerja itu dirangka bagi memperkemas kedudukan LTAT termasuk mengurangkan aset strategik, menyusun semula anak syarikat yang menanggung hutang besar serta memperkasa operasi syarikat-syarikat di bawah kumpulan berkenaan.

“Atas sebab itu, LTAT melaksanakan Project Earth yang menyaksikan pelan penstrukturan semula Boustead ditambah baik.

“Pelan ini diluluskan LTAT pada 9 Ogos 2024 dan dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 13 Disember 2024 sebagai usaha menyusun semula aset kumpulan demi meningkatkan kecekapan dan pulangan jangka panjang,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Datuk Khlir Mohd Nor (PN–Ketereh) mengenai langkah strategik Kementerian Pertahanan bagi memastikan LTAT kembali mampu membayar dividen seperti era gemilangnya pada 2017 dan sebelumnya.

Menurut Mohamed Khaled, di bawah Project Earth, pendedahan LTAT kepada Aset Strategik dalam Asset Under Management (AUM) akan dikurangkan secara signifikan.

“Melalui pelan ini, LTAT menyasarkan pengurangan pendedahan Aset Strategik daripada 57.8 peratus pada Julai 2025 kepada 35 peratus.

“Pengurangan itu melibatkan Boustead yang dijangka turun kepada 12 peratus, Affin kepada sembilan peratus, BPlant kepada tujuh peratus dan Kumpulan IRAT kepada tiga peratus dalam AUM LTAT,” jelasnya.

Beliau berkata, kerjasama dengan rakan strategik turut membolehkan LTAT meningkatkan pelaburan dalam instrumen pendapatan tetap berisiko rendah yang menjamin pulangan lebih stabil kepada pencarum.

Mengulas prestasi dividen yang merosot, Mohamed Khaled menjelaskan bahawa dividen tinggi pada masa lalu banyak bergantung kepada penjualan aset berskala besar, namun pendekatan itu tidak lagi sesuai dijadikan strategi semasa.

Katanya, sebarang kerugian akibat tindakan jenayah atau salah laku akan dikesan dan dibawa ke muka pengadilan.

“Tidak semua kerugian bermaksud berlaku salah laku kerana kerugian perniagaan juga boleh disebabkan oleh pelbagai faktor lain termasuk perubahan mata wang atau keadaan pasaran yang tidak dijangka,” jelas beliau.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button