‘Raja Penyu’ kembali mendarat di Rantau Abang, 81 telur ditemui
DUNGUN – Seekor penyu belimbing yang dipercayai sama dengan yang dikesan mendarat di perairan Marang pada 1 September lalu, kembali naik ke pantai Rantau Abang, awal pagi tadi.
Penyu yang digelar ‘Raja Penyu’ oleh penduduk tempatan itu dikesan mendarat kira-kira pukul 4.45 pagi sebelum meninggalkan 81 biji telur.
Pejabat Perikanan Negeri Terengganu memaklumkan penemuan itu direkodkan kakitangannya, Mohd Saipulmizam Hamzah bersama pemajak kawasan Rantau Abang, Mohd Salleh dan pemajak kawasan Jambu Bongkok, Mohd Amirudin Maznan.
Menurutnya, ukuran kesan pergerakan penyu berkenaan adalah kira-kira 2.20 meter, manakala telur yang ditemui mempunyai purata saiz lima sentimeter.
“Penyu berkenaan dipercayai individu sama yang pernah mendarat di perairan Marang pada 1 September lalu, berdasarkan ciri-ciri dan rekod pendaratannya,” menurut kenyataan agensi itu.

Kesemua 81 telur berkenaan kemudiannya dipindahkan dengan selamat ke tapak penetasan di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Rantau Abang bagi memastikan proses pengeraman dan pemantauan dapat dilakukan dengan lebih teratur.
Kemunculan semula penyu belimbing itu dianggap perkembangan positif dalam usaha pemuliharaan spesies penyu berkenaan serta pemulihan habitat pantai dan ekosistem marin di Terengganu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







