BERITA SEMASA

Rantau Abang: Seekor beruang ditangkap, seekor lagi masih berkeliaran

DUNGUN – Operasi selama dua bulan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) akhirnya membuahkan hasil dengan tertangkapnya seekor beruang matahari, sekali gus meredakan kebimbangan penduduk di Kampung Rantau Abang, di sini.

Namun begitu, ancaman tetap wujud susulan laporan mengenai seekor lagi beruang yang masih dikesan berada di kawasan perkampungan tersebut, lapor Buletin TV3.

Pekebun, Mohd Amiruddin Maznan,36, berkata, haiwan liar itu sebelum ini menceroboh kebunnya dan menyebabkan kerosakan tanaman termasuk durian dan kelapa.

“Beruang itu merosakkan tiga batang tanaman durian saya dan 10 batang tanaman kelapa milik bapa saudara.

“Paling sedih, ibu saudara saya kerugian RM5,000 selepas 50 batang tanaman kelapa dimusnahkan beruang terbabit sehingga menyebabkan ibu saudara saya kecewa dan tidak mahu lagi berkebun di situ,” katanya.

Menurutnya, selepas kejadian itu, dia meminta bantuan PERHILITAN yang kemudiannya memasang perangkap di kawasan kebun.

Katanya, sepanjang tempoh dua bulan, pelbagai umpan digunakan termasuk kulit nangka, cempedak serta minyak masak, sebelum seekor beruang akhirnya ditangkap pagi tadi.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Rantau Abang, Atan Mat Nor berkata, kehadiran haiwan liar itu sebelum ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk.

“Saya juga bimbang apabila dua ekor beruang masuk ke halaman rumah saya pada awal April lalu, memakan minyak masak dan menyepahkan tong sampah.

“Hari ini seekor berjaya ditangkap manakala seekor lagi masih bebas serta membimbangkan penduduk,” katanya.

Seorang penduduk, Hamid Daud,68, turut berharap pihak PERHILITAN meneruskan operasi bagi menangkap seekor lagi beruang demi keselamatan penduduk.

Dalam pada itu, penduduk dinasihatkan supaya segera menghubungi pihak berkuasa, sekiranya terserempak dengan haiwan liar berkenaan, bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button