BERITA SEMASA

Ketua UMNO Sepang dituntut mohon maaf susulan jenaka babitkan paderi, biarawati

CYBERJAYA – Ketua UMNO Sepang, Noorazli Said dituntut memohon maaf kepada penganut Katolik susulan tindakannya membuat jenaka berunsur seksual membabitkan paderi serta rujukan yang tidak tepat mengenai kitab Bible ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, baru-baru ini.

Perkara itu disuarakan Ahli Parlimen Tuaran, Wilfred Madius Tangau yang berkata, jenaka sedemikian ‘amat tidak wajar dan menyinggung perasaan’.

Wilfred Madius Tangau

“Kitab suci, paderi Katolik, dan biarawati tidak sepatutnya dijadikan bahan jenaka seksual atau dipersendakan dari pentas perhimpunan sebuah parti politik utama negara.

“Penceramah berkenaan sewajarnya mengakui kesilapan pertimbangannya, menarik balik rujukan palsu terhadap Mazmur 129, dan memohon maaf secara terbuka tanpa sebarang syarat kepada umat Katolik serta seluruh masyarakat Kristian,” katanya di Facebook, hari ini.

Dalam ucapannya semasa membahaskan ucapan dasar Presdien UMNO kelmarin, Noorazli berjenaka mengenai seorang paderi memandu Proton Saga manual yang menumpangkan seorang biarawati.

Sementara itu, laporan FMT yang memetik kenyataan Persatuan Peguam Katolik Kuala Lumpur (CLS) sebagai berkata, pihaknya akan membuat laporan polis berhubung ucapan Noorazli kerana ia ‘berpotensi mencetuskan ketidakharmonian dan rasa tidak hormat terhadap sesuatu komuniti agama’.

CLS dalam kenyataan tersebut berkata, gurauan Noorazli mungkin mempunyai implikasi undang-undang termasuk di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana disiarkan di media sosial.

Dalam masa yang sama, kenyataan Noorazli itu juga merendahkan golongan paderi dengan menggambarkan mereka dalam cara yang lucah dan tidak dihormati.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button