BERITA SEMASAPMX

Jenaka spontan Anwar-Putin cetus tawa di Kremlin

MOSCOW – Pertemuan rasmi antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Rusia, Vladimir Putin di Istana Kremlin bertukar menjadi detik mencuit hati apabila kedua-dua pemimpin saling berbalas jenaka yang menggambarkan keakraban dan keselesaan dalam pertemuan bersejarah itu.

Dalam sesi perbincangan yang berlangsung di Dewan St Andrew iaitu sebuah dewan bersejarah penuh simbolik, Putin sempat berkongsi mengenai sejarah tiga takhta yang terletak di dalam dewan tersebut yang dibina satu untuk Tsar, satu lagi untuk isterinya dan satu lagi dijadikan teka-teki untuk dijawab oleh Anwar.

Sambil tersenyum, Putin kemudian melemparkan persoalan itu dan menantikan jawapan daripada Anwar.

Tanpa menunggu lama, Anwar secara berseloroh menjawab: “Untuk isteri kedua.”

Pertemuan Anwar Ibrahim dengan Vladimir Putin di Istana Kremlin, Moscow, Rusia.
Bangunan Kremlin yang menjadi ikon pentadbiran kerajaan Tsar suatu ketika dahulu.

 

Jawapan spontan itu mencetuskan gelak tawa seluruh dewan, termasuk dalam kalangan pembesar Rusia, delegasi Malaysia serta wakil media antarabangsa yang menyaksikan sesi pertemuan tersebut.

Putin, yang jelas terhibur dengan gurauan itu, membalas jenaka Anwar sambil berseloroh, bahawa jawapan tersebut “mewakili seorang Muslim sejati”, sekali gus menyemarakkan suasana ceria dalam perbualan mereka.

Tidak mahu dibiarkan salah faham berpanjangan, Anwar pantas menjelaskan bahawa beliau hanya mempunyai seorang isteri.

“Saya sedar itu hanya satu cubaan menguji saya. Kemudian saya terus terfikir bahawa takhta itu sebenarnya adalah untuk ibu kepada Tsar,” katanya sambil tersenyum.

Reaksi spontan itu ternyata ‘melegakan’ Presiden Rusia yang menyambutnya dengan tawa, menyifatkannya sebagai satu contoh pertukaran budaya yang menarik antara dua pemimpin dari latar belakang berbeza.

Pertemuan yang pada asalnya bersifat rasmi dan strategik, secara tidak langsung memaparkan sisi peribadi kedua-dua pemimpin yang mampu mencairkan suasana dengan jenaka bersahaja.

Ia menjadi gambaran hubungan diplomatik yang semakin akrab di antara Malaysia dan Rusia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button