Anwar kongsi pengalaman Malaysia urus masyarakat majmuk di pentas antarabangsa
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsi pengalaman Malaysia dalam mengurus kepelbagaian kaum, bahasa dan agama ketika menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin Agama Antarabangsa Ketiga yang menghimpunkan pimpinan agama serta cendekiawan dari pelbagai negara, semalam.
Anwar berkata, usaha mengurus masyarakat berbilang kaum dan agama bukan tugas yang mudah kerana ia sering berdepan pelbagai cabaran serta perbezaan pandangan.
Menurut beliau, justeru prinsip saling menghormati dan kesederhanaan perlu terus dijadikan asas dalam kehidupan bermasyarakat bagi memastikan kestabilan serta kemajuan negara dapat dikekalkan.
“Saya turut menekankan peri pentingnya nilai, adab dan tradisi keilmuan yang diwariskan oleh para ulama dan agamawan.
“Tradisi ilmu yang kukuh, sama ada berteraskan warisan klasik mahupun pendekatan semasa, harus terus diperkasa bagi membimbing masyarakat menghadapi cabaran dunia yang semakin kompleks,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam pertemuan itu, Anwar turut bertukar pandangan dengan pimpinan agama dan cendekiawan antarabangsa mengenai pelbagai isu berkaitan pendidikan, kefahaman Islam serta pembangunan masyarakat berasaskan ilmu dan nilai kemanusiaan.
Beliau berkata, Malaysia kekal komited menjalin kerjasama yang memberi manfaat bukan sahaja kepada umat Islam, malah masyarakat sejagat.
Menurutnya, walaupun Malaysia sering dijadikan contoh keharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk, negara ini turut berdepan cabaran seperti sentimen perkauman, kebencian berasaskan agama dan bangsa serta pelbagai tohmahan yang boleh menggugat perpaduan rakyat.
“Namun, saya percaya jawapan terbaik terhadap kebencian bukanlah kemarahan, sebaliknya kesabaran, kebijaksanaan dan akhlak yang baik.
“Ketika berdepan insiden pembakaran al-Quran misalnya, Malaysia memilih untuk memberikan respons yang positif dengan memperluas usaha mencetak dan mengedarkan sejuta naskhah al-Quran berserta terjemahan dalam pelbagai bahasa,” katanya.
Beliau berharap usaha sedemikian dapat terus menyemarakkan budaya ilmu, memperkukuh persefahaman dalam kalangan masyarakat serta menampilkan wajah Islam yang sebenar sebagai agama yang membawa rahmah, keadilan dan ihsan kepada seluruh umat manusia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








