POLITIK

Anwar: Mandat kepada PH-BN jamin masa depan Negeri Sembilan lebih stabil

SEREMBAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru pengundi di Negeri Sembilan agar memberikan mandat kepada calon Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi bagi memastikan kesinambungan pentadbiran yang sealiran dengan Kerajaan Persekutuan.

Beliau menekankan bahawa penyelarasan antara kerajaan negeri dan pusat adalah kunci utama dalam menjamin kestabilan serta masa depan negeri yang lebih terjamin.

“Kalau saudara nak selamat, kerja dengan baik. Kalau nak selamat, pastikan kerajaan Negeri Sembilan itu sealiran dengan kerajaan Persekutuan,” katanya Ketika majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri Sembilan 2026, malam tadi.

Anwar yang juga Pengerusi PH turut menyatakan keyakinannya terhadap kepimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun untuk terus menerajui negeri sekiranya mandat diberikan.

“Saya nak beri jaminan, insya-Allah, berikan mandat kepada Kerajaan Perpaduan. Kita sudah berikan mandat di peringkat pusat, sekarang saya minta mandat kepada Kerajaan Harapan Negeri Sembilan.

“Berikan mandat ini, supaya Aminuddin ditabalkan semula sebagai Menteri Besar yang sah. Insya-Allah, dengan kerjasama ini, masa depan Negeri Sembilan akan lebih terjamin,” tegas beliau.

Kenyataan Perdana Menteri itu dilihat sebagai langkah strategik bagi mengukuhkan kedudukan gabungan PH-Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan, sekali gus memastikan agenda pembangunan yang direncanakan di Putrajaya dapat diselaraskan dengan lancar di peringkat akar umbi.

Semalam Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengumumkan pengundian bagi PRN Dewan Undangan Negeri Sembilan pada 1 Ogos.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button