Kes kehilangan dua sepupu: Mangsa terima sokongan psikologi, lima lelaki direman
KOTA BHARU – Dua sepupu yang ditemui selamat di Machang petang kelmarin selepas 32 jam dilaporkan hilang, kini sedang menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh oleh pasukan pakar perubatan di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata, kedua-dua remaja perempuan tersebut menerima rawatan sewajarnya daripada pasukan perubatan yang mengendalikan kes di Pusat Krisis Bersepadu (OSCC).
Katanya, mereka turut menerima sokongan psikologi bagi membantu memulihkan semangat susulan insiden tersebut.
“Pasukan pakar perubatan HSIP memberikan rawatan sewajarnya kepada mereka, termasuk dari segi psikologi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu media melaporkan, Nor Syahzanani Mohd Sulaiman, 15, dan Nur Kaseh Nalisya Mohd Ramzul Nazrie, 16, yang dilaporkan hilang sejak malam Khamis ditemui selamat di Machang petang Jumaat.
Dua sepupu itu ditemui di sebuah inap desa, kira-kira 25 kilometer dari kediaman mereka di Kampung Baloh dekat Kok Lanas.
Susulan itu, polis menahan lima lelaki di Machang petang kelmarin bagi membantu siasatan kehilangan dua remaja berkenaan.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Azuhar Md Nor berkata, dua daripada suspek direman lima hari, manakala tiga lagi yang juga rakan dua suspek utama direman selama dua hari.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








