Jasad kru kapal Myanmar hilang di Sungai Krian ditemukan separuh badan
SARATOK – Seorang kru kapal warga Myanmar yang terjatuh ke Sungai Krian pada Jumaat lalu ditemukan dengan jasad hanya separuh badan di Lubuk Petan, Kampung Kupang, hari ini.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan, mayat Thu Htoo Aung, 20, dijumpai penduduk kampung pada pukul 12.23 tengah hari sebelum memaklumkan kepada pasukan operasi yang diketuai PBKI Nasir Drahman.
“Pasukan bomba bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) tiba di lokasi pada pukul 12.35 tengah hari dan membawa jasad ke jeti berhampiran untuk pengecaman.
“Polis mengesahkan mayat itu adalah mangsa yang dicari. Keadaannya hanya separuh badan dari pusat ke kaki, dipercayai akibat gigitan haiwan air,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan penemuan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok bersama sebuah kenderaan pacuan empat roda dan bot penyelamat ditamatkan sepenuhnya pada pukul 1.40 tengah hari.
Sebelum ini, mangsa yang memakai seluar panjang coklat dan kasut getah pendek dilaporkan terjatuh dari kapal Moi Soon 2 yang berlabuh di Wharf Batu Pekan, Saratok pada pukul 9.30 pagi, Jumaat lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








