BERITA SEMASA

Wanita hilang selepas keluar beli barang dapur di Malim Jaya

MELAKA – Seorang wanita dilaporkan hilang selepas keluar rumah untuk membeli barangan keperluan harian di sebuah pasar raya di Taman Malim Jaya, di sini, Khamis lalu.

Noraslina Abdul Manap, berusia 40 tahun, kali terakhir dilihat meninggalkan kediamannya di Rumah Pangsa Kampung Padang, Pokok Mangga di sini, pada pukul 4.40 petang pada 21 Mei.

Suaminya, Mohamad Farouk Abdul Salam, berusia 49 tahun, berkata dia hanya menyedari kehilangan isterinya selepas cuba menghubungi isterinya sebaik sahaja dia tiba di rumah.

“Pada pukul 6 petang, isteri saya masih belum pulang. Rasa risau mula timbul, jadi saya cuba menelefonnya.

“Bagaimanapun, panggilan tidak dapat disambung seolah-olah telefon bimbitnya telah dimatikan, dan dia masih belum ditemui sehingga hari ini,” katanya.

Farouk berkata, dia sudah cuba mencari isterinya di rumah saudara-mara dan rakan terdekat, namun gagal menemui sebarang petunjuk.

Kerana bimbangkan keselamatan isterinya, dia telah membuat laporan polis di Balai Polis Malim pada Jumaat lalu.

Jelasnya lagi, Noraslina tidak pernah meninggalkan rumah dalam tempoh yang lama tanpa memberitahu keluarga.

Malah, dia juga buntu memikirkan punca kehilangan isterinya memandangkan tiada sebarang masalah atau perselisihan faham yang berlaku antara mereka sebelum kejadian.

“Saya berharap isteri saya dapat pulang dengan segera kerana kami sekeluarga amat bimbangkan keselamatannya.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai keberadaan isteri saya boleh menghubungi 012-2372475 atau 010-6665354,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit mengesahkan menerima laporan mengenai kehilangan wanita berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button