BERITA SEMASA

Ketua Penerangan Pemuda MCA lari 290km dari Taiping ke Parlimen, serah petisyen isu tiga gajah

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berjaya melakukan larian solo sejauh 290 kilometer dari Taiping, Perak ke Parlimen Malaysia sebagai simbol solidariti terhadap nasib tiga ekor gajah Malaysia yang kini berada di Jepun.

Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berjaya menamatkan larian solo sejauh 290 KM dsri Taiping ke Parlimen hari ini.

Beliau berkata, misi yang dinamakan “Larian Solidariti Bersama Darah Amor dan Kelat” itu bukan sahaja mencabar ketahanan fizikal, malah membawa mesej besar berkaitan kebajikan haiwan dan kepentingan awam.

“Walaupun mengalami kecederaan sepanjang perjalanan, usaha tersebut tetap diteruskan dengan bantuan pegawai perubatan dari Hospital Tapah dan Hospital Kuala Kubu Bharu.

“Saya berjaya juga menamatkan larian ini pagi ini. Terima kasih kepada NGO yang bersama-sama menyokong, termasuk artis konservasi yang menghasilkan lukisan besar sebagai simbol solidariti,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Neow berkata, tiga ekor gajah berkenaan merupakan khazanah negara yang perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak, termasuk kementerian berkaitan dan pihak berkuasa tempatan.

Menurutnya, isu itu melibatkan kepentingan awam serta memerlukan perbahasan di Dewan Rakyat supaya tidak hanya dibincangkan di luar bangunan Parlimen.

“Kita mahu suara rakyat dibawa masuk ke Dewan Rakyat. Ahli Parlimen perlu bangkitkan isu ini tanpa mengira parti,” katanya lagi.

Beliau turut mempersoalkan status penempatan tiga gajah tersebut, dengan mendakwa terdapat isu berkaitan pematuhan undang-undang antarabangsa seperti CITES serta aspek kebajikan haiwan.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong
Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong yang turut hadir menantikan ketibaan pelari solo di Parlimen pagi ini.

Sementara itu, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong yang turut hadir memberi pandangan bahawa satu kajian menyeluruh perlu dilakukan termasuk aspek dasar, perjanjian pemindahan, serta pelan repatriasi haiwan berkenaan.

Menurut beliau, perjanjian berkaitan pemindahan gajah perlu didedahkan bagi memastikan ketelusan serta jaminan kebajikan haiwan pada masa hadapan.

“Dasar negara perlu jelas kerana haiwan seperti gajah dan harimau membawa identiti Malaysia. Kita perlu lihat secara holistik termasuk pelan kontingensi,” katanya lagi.

Ka Siong turut menyifatkan usaha larian tersebut sebagai satu inisiatif solidariti yang berjaya menarik perhatian masyarakat terhadap isu kebajikan haiwan.

Usaha Neow itu turut mendapat sokongan beberapa NGO serta aktivis konservasi yang hadir di Parlimen dengan membawa simbol dan karya seni sebagai tanda sokongan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button