BERITA SEMASALUAR NEGARA

Pendaki Jepun maut di Gunung Huascaran

LIMA – Seorang pendaki warga Jepun maut manakala rakannya berjaya diselamatkan ketika melakukan pendakian di Gunung Huascaran, Peru.

Ketua Polis Wilayah Ancash, Jeneral Antonio Loreno berkata, mangsa dikenali sebagai Chiaki Inada, 40, manakala rakannya, Saki Terada, 36, dilaporkan terkandas sejak Isnin lalu pada ketinggian melebihi 6,400 meter dari paras laut.

“Usaha menyelamat berjaya dilakukan selepas pasukan penyelamat mengesan lokasi mereka menerusi isyarat GPS yang dihantar daripada peranti yang dibawa.

“Kami menyelamatkan seorang lagi warga Jepun yang masih hidup dan memberikan rawatan perubatan segera. Mayat seorang lagi pendaki akan dibawa turun esok (hari ini),” katanya dalam satu kenyataan.

Mangsa dipercayai meninggal dunia akibat hipotermia selepas beberapa hari terperangkap dalam cuaca sejuk melampau.

“Difahamkan, kedua-dua pendaki itu tiba dari Jepun dua minggu lalu dan melakukan pendakian tanpa menggunakan khidmat pemandu tempatan,” jelasnya.

Gunung Huascaran berketinggian lebih 6,700 meter dan terletak di pergunungan Cordillera Blanca merupakan antara laluan paling mencabar serta destinasi pilihan dalam kalangan pendaki antarabangsa.

Pada Ahad, pasukan penyelamat turut menemukan tiga mayat pendaki lain yang dilaporkan hilang lebih 20 hari di kawasan sama, dipercayai tertimbus dalam runtuhan salji.

Pada Julai tahun lalu, mayat pendaki warga Amerika Syarikat, William Stampfl, dilaporkan hilang sejak 2002, ditemukan dalam keadaan terawet akibat suhu beku melampau di kawasan sama.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button