BERITA SEMASA

Dua RXZ bergesel, seorang penunggang maut dirempuh HR-V

HULU TERENGGANU – Perjalanan pulang dua penunggang Yamaha RXZ dari Cherating, Pahang bertukar tragedi apabila motosikal mereka bergesel sebelum salah seorang daripada mereka dirempuh sebuah Honda HR-V di Kilometer 406.4 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), berhampiran Ajil, malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 11.45 malam itu, Mohd Yusri Rusdi, 38, maut akibat kecederaan parah pada kepala dan beberapa anggota badan.

Seorang lagi penunggang, Eiri Aizul M Safri, 34, pula cedera parah dan mengalami patah tangan kanan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab berkata, kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke Kuala Terengganu dari Cherating ketika kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, dua motosikal jenis Yamaha RXZ berkenaan dikatakan bergesel antara satu sama lain menyebabkan kedua-dua mangsa terjatuh ke atas lebuh raya.

“Kenderaan jenis Honda HR-V gagal mengelak lalu merempuh Mohd Yusri,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, akibat rempuhan itu, Mohd Yusri tercampak ke dalam parit di tepi lebuh raya.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut, manakala mangsa yang cedera menerima rawatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button