BERITA SEMASALUAR NEGARA

14 maut dalam rusuhan penjara di Ecuador

QUITO – Sekurang-kurangnya 13 banduan dan seorang pengawal penjara terbunuh manakala 14 lagi cedera dalam insiden pergaduhan kumpulan samseng di sebuah penjara di bandar Machala, barat daya Ecuador, awal pagi Isnin.

Ketua Polis Machala, William Calle memaklumkan, penduduk berhampiran penjara melaporkan terdengar letupan dan bunyi tembakan sejurus selepas tengah malam waktu tempatan.

“Siasatan mendapati sejumlah banduan berjaya meloloskan diri namun 13 daripadanya berjaya ditangkap semula.

“Rusuhan berdarah di penjara bukan perkara baharu di Ecuador melibatkan kumpulan jenayah yang sering mensasarkan anggota geng lawan,” katanya memetik laporan berita tempatan.

Calle berkata, dalang yang menjadi punca pergaduhan dikenal pasti sebagai kumpulan Los Lobos Box.

Menurut laporan awal, sepasukan anggota keselamatan bergegas ke salah satu blok penjara selepas menerima panggilan kecemasan daripada banduan di situ bagaimanapun mereka ditawan sebelum seorang pengawal maut dibunuh.

“Kumpulan Los Lobos Box kemudian menyerbu blok menempatkan musuh mereka dan melancarkan serangan.

“Beberapa banduan lain berjaya melarikan diri melalui lubang di tembok penjara yang diletupkan dengan bahan peledak,”menurut laporan itu.

Katanya, setakat ini, pihak berkuasa belum dapat memastikan bagaimana bahan letupan berjaya diseludup masuk ke dalam penjara berkenaan.

Daripada 14 mangsa cedera, dua daripadanya adalah anggota polis.

Calle berkata, kawalan berjaya dipulihkan selepas 200 anggota polis dan tentera dikerahkan ke lokasi.

Sementara itu, saluran televisyen Ecuavisa melaporkan, penduduk Machala sudah lama mendesak penjara berkenaan dipindahkan kerana terletak di tengah-tengah bandar.

Ecuador kini berdepan gelombang keganasan geng yang menukar statusnya daripada salah satu negara paling selamat di Amerika Latin kepada antara yang paling berbahaya.

Kumpulan penjara memainkan peranan besar dalam mengendalikan kegiatan jenayah dari tirai besi selain menjalin kerjasama dengan kartel dadah Mexico bagi menguasai laluan penyeludupan kokain dari negara jiran melalui pelabuhan Ecuador ke Amerika Syarikat dan pasaran antarabangsa.

Awal bulan ini, Amerika Syarikat mengisytiharkan dua kumpulan geng Ecuador iaitu Los Lobos dan Los Choneros sebagai Pertubuhan Pengganas Asing (FTO).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button