BERITA SEMASALUAR NEGARA

Pelancong Brazil maut jatuh gaung di Gunung Rinjani

JAKARTA – Seorang pelancong warga Brazil, Juliana Marins, 26, maut selepas terjatuh ke dalam gaung ketika mendaki Gunung Rinjani di Lombok, Indonesia.

Mangsa dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu sebelum pasukan penyelamat berjaya mengesan mayatnya menggunakan dron, semalam.

Menurut Kementerian Luar Brazil, operasi mencari dan menyelamat mengambil masa empat hari berikutan cabaran cuaca buruk.

“Pasukan Agensi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan Indonesia berjaya menemui mayat mangsa walaupun berdepan pelbagai halangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa susulan tragedi berkenaan.

“Perkhidmatan diplomatik dan konsular kami di Indonesia akan terus memberikan sokongan penuh kepada keluarga mangsa dalam menghadapi saat sukar ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan Indonesia, Mohammad Syafii pula berkata, operasi membawa turun mayat mangsa dijadualkan pagi ini, tertakluk kepada keadaan cuaca semasa.

Beliau berkata, seorang anggota penyelamat tiba di lokasi pada kedalaman 600 meter dan mengesahkan mangsa tidak lagi bernyawa, sebelum disusuli tiga anggota lain yang turut mengesahkan perkara sama.

Dalam perkembangan berkaitan, akaun Instagram rasmi yang memantau operasi pencarian memaklumkan Marins ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Dengan penuh kesedihan, kami maklumkan bahawa Juliana tidak berjaya diselamatkan. Kami amat menghargai segala doa, mesej kasih sayang dan sokongan yang diberikan sepanjang misi ini,” menurut hantaran dimuat naik di akaun media sosial.

Difahamkan, Marins sedang mengembara secara solo di Asia Tenggara, termasuk Thailand dan Vietnam, sebelum meneruskan perjalanan ke Indonesia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button