Peserta himpunan Yamaha RXZ maut dalam kemalangan ngeri di Tampin
TAMPIN – Seorang peserta perhimpunan motosikal Yamaha RXZ maut selepas terlibat dalam kemalangan ngeri di Kilometer 1.5, Jalan Pasir Besar–Palong, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi, mangsa yang dalam perjalanan untuk menyertai program Legasi 04 RXZ X 125 ZR Melaka Attack 2025 disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas terbabit kemalangan melibatkan dua buah motosikal Yamaha RXZ dan sebuah kereta Perodua Alza.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman berkata, kemalangan membabitkan dua penunggang lelaki masing-masing berusia 39 dan 34 tahun, serta sebuah Perodua Alza yang dipandu lelaki tempatan berusia 37 tahun bersama lima penumpang.
Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua penunggang motosikal itu dalam perjalanan dari Paka, Terengganu menghala ke Melaka.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, penunggang motosikal yang berada di hadapan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Alza.
“Pada masa sama, penunggang motosikal yang berada di belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal rakannya, menyebabkan kedua-duanya terjatuh di atas jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Amiruddien berkata, penunggang Yamaha RXZ yang berada di hadapan mengalami kecederaan parah di bahagian punggung, manakala penunggang yang berada di belakang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tampin bagi tujuan bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian,” katanya lagi.
Kes berkenaan masih dalam siasatan pihak polis.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








