
Mesir lakar sejarah, raih kemenangan pertama Piala Dunia selepas tundukkan New Zealand 3-1
VANCOUVER – Mesir meraih kemenangan pertama dalam sejarah Piala Dunia mereka selepas menewaskan New Zealand 3-1, sekali gus meletakkan mereka di landasan untuk mara ke pusingan kalah mati buat kali pertama.
Mohamed Salah, Mostafa Zico, dan Trezeguet menjadi penjaring gol buat Mesir bagi membalas gol awal Finn Surman pada minit ke-15, sekali gus memberikan kemenangan buat Mesir dalam aksi Kumpulan G di Vancouver, lapor The New York Times.
Kemenangan tersebut meletakkan Mesir di kedudukan teratas Kumpulan G dengan empat mata dan hanya memerlukan keputusan seri menentang Iran di Seattle pada hari Jumaat untuk melangkah ke pusingan 32 terbaik.
Gerakan satu-dua bersama Zico yang dinamakan sempena legenda Brazil membolehkan Salah melepaskan rembatan lencong kaki kiri untuk menjaringkan gol pada minit ke-67.
Salah kemudian memberikan bantuan gol kepada pemain gantian, Trezeguet yang juga dinamakan sempena bekas penyerang Perancis, David Trezeguet untuk memastikan kemenangan dengan tandukan rendah.
“Pada tahun-tahun mendatang, kita akan mengingati bahawa ini adalah salah satu pencapaian dalam sejarah,” kata Salah.
Beliau memuji kehadiran penyokong Mesir yang ramai di stadium untuk memberikan sokongan.
“Rasanya seperti kami bermain di Mesir. Ini adalah kemenangan yang hebat dan suasana yang luar biasa,” ujarnya.
Mesir sebelum itu ketinggalan kepada pasukan New Zealand yang membuka jaringan menerusi tandukan tinggi Surman pada minit ke-15.
Namun, Zico menyamakan kedudukan selepas menanduk masuk hantaran lintang daripada Mohamed Hany.
Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan G sebelum itu, Belgium dan Iran terikat 0-0.
Belgium dijadualkan bertemu New Zealand di Vancouver pada hari Jumaat ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








