PM lancar inisiatif transformasi digital, perkasa kemahiran digital pelajar pondok, madrasah
PERMATANG PAUH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluncurkan Inisiatif Transformasi Digital Institusi Pendidikan Islam (IPI) bagi memperkenalkan latihan teknologi dan kemahiran digital kepada pelajar pondok dan madrasah.
Menurut Perdana Menteri, inisiatif tersebut digerakkan oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Inisiatif itu bertujuan memastikan anak-anak pondok yang menguasai tradisi ilmu agama turut diperlengkap dengan kemahiran yang relevan dengan perkembangan dunia masa kini,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Terdahulu, Anwar menghadiri Majlis Perasmian Masjid Jamek Mengkuang Titi di Permatang Pauh yang siap dibina hasil kerjasama serta sumbangan ahli kariah, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Menurut beliau, pembinaan masjid tersebut merupakan manifestasi bahawa usaha membangun dan mengimarahkan rumah ibadah adalah tanggungjawab bersama antara masyarakat dan pemerintah seperti yang dianjurkan dalam al-Quran.
Dalam pada itu, Anwar turut menghargai pengenalan program Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan di masjid berkenaan sebagai usaha merancakkan penglibatan anak muda.
Katanya, program itu dapat menjadikan masjid sebagai ruang yang hidup, bukan sekadar tempat ibadah tetapi juga pusat ilmu, pembinaan sahsiah dan kegiatan masyarakat.
“Insya-Allah, Kerajaan MADANI akan terus bekerja sedaya mungkin dalam menangani cabaran semasa dan memastikan negara kekal aman agar rakyat dapat terus menikmati manfaat pembangunan dan kemajuan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








