Tiada keperluan gantung tugas Azam Baki – Anwar
SHAH ALAM: Kerajaan tidak melihat keperluan untuk menggantung tugas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, sementara siasatan dijalankan oleh jawatankuasa khas bagi meneliti isu melibatkannya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu dibuat supaya jawatankuasa berkenaan dapat meneliti kes berkenaan mengikut prosedur yang ditetapkan sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.
“Keputusan kita tadi, Ketua Setiausaha Negara (KSN) beri maklumat awal, biar dia tubuh jawatankuasa khas dan tengok kes untuk diteliti bersama Peguam Negara.
“Ikut proses biasa dahulu. Kita telus,” katanya memetik laporan Buletin TV3 kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Pusat Islam, Politeknik Shah Alam, hari ini.
Menurut Anwar, kerajaan mahu kajian dan siasatan itu dijalankan secara telus bagi meneliti jika wujud sebarang masalah sebenar.
Menjawab soalan sama ada terdapat arahan supaya Azam Baki berehat sepanjang tempoh siasatan, Anwar menegaskan tiada arahan sedemikian buat masa ini.
Pada masa sama, beliau menegaskan proses itu tidak seharusnya mengganggu peranan keseluruhan SPRM dalam membanteras rasuah.
“Saya tidak mahu ini mengganggu peranan SPRM keseluruhannya kerana ada usaha untuk mengekang, terutama apabila mereka lebih tegas dan keras mengambil tindakan terhadap rasuah. Ada pihak berkepentingan cuba melindungi perasuah-perasuah ini,” katanya.
Terdahulu, Bloomberg dalam laporannya sebelum ini mendakwa Azam mempunyai pegangan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan.
Bagaimanapun, Azam memaklumkan beliau tidak lagi memiliki sebarang saham dalam mana-mana syarikat sejak Julai tahun lalu.
Azam juga dilaporkan bakal mengemukakan surat tuntutan kepada sebuah media susulan laporan berita berhubung pemilikan saham membabitkannya.
Beliau dilaporkan berkata, semua pegangan telah dilupus serta diisytihar mengikut peraturan ditetapkan dan turut dibuat di kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








